Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pusat 3S Volvo Ara Damansara Pertama Di Malaysia Dilengkapi VR Studio

Erywan
20/02/2020 04:23 MYT
Pengeluar automotif Sweden, Volvo Car Malaysia dan rakan niaganya, Sime Darby Swedish Auto melancarkan Pusat 3S Volvo Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Pusat 3S itu dijangka akan membina visi dalam mengukuhkan pasaran serta meningkatkan keyakinan pelanggan buat jenama Volvo.

Menariknya, bangunan itu direka berkonsepkan Volvo Retail Experience (VRE) dengan menawarkan pengalaman kontemporari mewah di atas bangunan empat tingkat.

Pada masa sama, ia juga menjadi pusat 3S pertama yang dilengkapi dengan Studio Realiti Maya (VR Studio). Di aras pertama, ia mempamerkan barisan model Volvo, di aras kedua dan ketiga pula adalah tempat servis, manakala kawasan untuk penjajaran dan pengimbangan tayar di tingkat empat.

Pusat 3S itu mampu melakukan servis sehingga 400 unit sebulan dengan mempunyai lapan pekerja yang mempunyai kemahiran tinggi.

Semua tempat parkir pelanggan juga dilengkapi dengan pengecas untuk kenderaan elektrik sebagai usaha Volvo untuk kelestarian alam sekitar dalam memperkenalkan dan mempromosi teknologi tenaga bersih.

Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Nalin Jain berkata, pengeluar automotif Sweden sentiasa mencari peluang untuk mengembangkan lagi perniagaan di negara ini.

“Kerjasama dengan pengedar premium seperti Sime Darby Swedish Auto adalah kunci untuk mengembangkan jenama Volvo terutama dalam menyediakan inspirasi idea dan warisan Sweden terutama pengalaman jualan, menjual kereta baharu serta meningkatkan pengalaman pelanggan,” katanya.

Pusat 3S itu terletak di Block 6, Sime Darby Motors City, Petaling Jaya, Selangor yang beroperasi antara 8.30 pagi sehingga 6 pagi setiap Isnin sehingga Jumaat. Pada Sabtu dan Ahad, masing-masing dibuka pada 9 dan 10 pagi sehingga 6 petang.



;