Volvo Car Malaysia memperluaskan rangkaian jualannya dengan melancarkan ruang pameran baharu di Ipoh bagi membolehkan pelanggan mempunyai lebih akses kepada jenama Volvo dan perkhidmatan.

Pusat pameran itu diusahakan iRoll Ipoh Sdn Bhd, ia memberi nilai tambah kepada rangkaian penjual Volvo yang terletak berhampiran dengan lapangan terbang dan Ipoh City & Country Club.

Memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat untuk jenama Volvo di Perak, Pusat 3S baharu ini (Sales, Service dan Spare Parts) memaparkan ruang pameran yang sempurna berinspirasikan Scandinavian.

Ia mempamerkan model terbaharu Volvo dan mempunyai pusat perkhidmatan lengkap dengan empat ruang membaiki kenderaan. Model-model yang kini dijual adalah Volvo XC60, Volvo S90, Volvo XC40, dan Volvo XC90 serta Volvo S60 baharu.

Pusat 3S baharu itu memenuhi piawaian jualan terbaharu Volvo Cars, yang dikenali sebagai Pengalaman Jualan Volvo atau Volvo Retail Experience (VRE).

VRE diwujudkan untuk memberi tumpuan terhadap asas jenama Volvo untuk menyediakan khidmat pelanggan terbaik dalam empat bidang utama – Pengalaman Mewah Kontemporari, Kefahaman, Interaksi dan Kesejahteraan.

Volvo Car Malaysia menerima peningkatan jumlah jualan hasil rangkaian jualannya yang kukuh dengan pelan transformasi baharu. Bagi suku pertama 2019, syarikat berkenaan menyaksikan pertumbuhan jualan sebanyak 60 peratus, berbanding 28 peratus tahun lalu.