Antarabangsa
Pusat Servis Perodua Terpilih Lanjut Waktu Operasi Sehingga 9 malam
Perodua memulakan projek perintis untuk melanjutkan waktu operasi pusat servis dan hab Badan & Cat (B&P) terpilih untuk memenuhi keperluan pelanggannya yang dihargai.
Pada peringkat awal ini, projek perintis ini membabitkan 16 pusat servis dan tiga hab B&P di seluruh negara, yang akan beroperasi dari jam 8.00 pagi – 9.00 malam di Semenanjung Malaysia dan 7.45 pagi – 8.45 malam di Malaysia Timur, setiap hari kecuali Ahad.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya sedar masih ramai pelanggan yang sudah melepasi tempoh servis kenderaan mereka kerana operasi Perodua di seluruh negara ditutup selama dua bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, oleh itu, Perodua melanjutkan waktu operasi pusat servis dan hab B&P terpilih untuk memenuhi permintaan tinggi dan terus memberikan ketenangan minda kepada pelanggan.
“Inisiatif ini dijangka dapat menampung permintaan servis di kawasan-kawasan utama.
“Kami akan memantau dan menilai keberkesanan projek perintis ini secara berterusan. Buat masa ini, ia akan diteruskan sehingga diberitahu kelak,” katanya.
Pelanggan yang mahu melakukan servis kenderaan mereka diminta untuk mendapatkan slot janji temu terlebih dahulu dengan pusat servis pilihan. Bagaimanapun, walk-in masih tidak diterima buat masa ini.
Semua pelawat mesti menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis, mendaftarkan maklumat diri mereka dan mematuhi penanda jarak sosial di dalam premis setiap masa. Pembersih tangan ditempatkan di lokasi-lokasi penting, manakala pembersihan secara berkala turut dibuat ke atas premis tersebut.
Ini senarai Pusat Servis Perodua dengan waktu operasi yang dilanjutkan
- Perodua Sentral PJ (3S)
- PSSB Subang Jaya
- PSSB Keramat
- PSSB Glenmarie (3S)
- PSSB Balakong (3S)
- PSSB Puchong (3S)
- PSSB Johor Bahru 1 (3S)
- PSSB Johor Bahru 2 (3S)
- PSSB Seremban (3S)
- PSSB Juru (3S)
- PSSB Penang
- PSSB Ipoh 1
- PSSB Kota Bharu 1 (3S)
- PSSB Kuantan 2
- PSSB Kuching 1 (3S)
- PSSB Kota Kinabalu 2
- PSSB Subang Jaya B&P
- PSSB Balakong B&P
- PSSB Kota Bharu B&P