Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Tempatan

Pusingan Pertama Musim 4 Toyota Gazoo Racing Ditunda

Erywan 22/01/2021 | 08:15 MYT

Berdasarkan perkembangan terbaru pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan antaranya di Selangor dan Wilayah Persekutuan dan kini dilanjutkan hingga 4 Februari 2021, UMW Toyota Motor (M) Sdn Bhd ingin mengumumkan penundaan Pusingan 1 Musim 4 bagi Toyota Vios Challenge yang dijadualkan berlangsung pada 28 sehingga 30 Januari 2021 di Litar Antarabangsa Sepang.

Tarikh baru bagi Pusingan 1 itu masih belum dapat ditentukan. Bagaimanapun, UMW Toyota Motor sentiasa berhubung rapat dengan Kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan dalam memantau perkembangan pemulihan daripada peningkatan kes harian yang berlaku ketika ini dan berharap dapat memulakan musim perlumbaan terbaru ini secepat mungkin.
Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor (M) Sdn Bhd dan Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama berkata, dalam usaha untuk bersama-sama meratakan lengkung penyebaran pandemik Covid-19, pihaknya menyedari kesannya terhadap negara seperti yang sedang kita depani ketika ini.
“Perlumbaan terbabit perlu dan akan diteruskan, tetapi tidak sehingga kita bersama-sama berhasil membendung ancaman Covid-19 agar keselamatan semua orang termasuk pelumba, ahli pasukan, pegawai bertugas, penonton serta semua pihak berkepentingan yang lain terjamin," katanya.
Selepas kejayaan tiga musim perlumbaan, Musim 4 Festival Toyota Gazoo Racing menjanjikan aksi dan penganjuran yang lebih menarik dengan pengenalan tiga siri perlumbaan berasingan (Toyota Vios Challenge, Gazoo Racing Vios Sprint dan Gazoo Racing Enduro Cup) dengan keseluruhannya melibatkan 11 perlumbaan.
Peningkatan penyertaan oleh pelumba muda dalam siri ini sepanjang tiga musim lalu juga telah mendorong syarikat untuk memperkenalkan Gazoo Racing School serta pengenalan Rookie Class di dalam Toyota Vios Challenge bagi pemandu berumur 14 hingga 20 tahun.

#Toyota
;