Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Rekaan Range Rover Kena Tiru Lagi, Kini Model Hunkt Canticie

Erywan
05/02/2021 03:09 MYT
Sebelum ini Range Rover mengambil masa lama untuk menang dalam kes saman jenama China Landwind kerana meniru rekaan kereta Range Rover mereka menerusi model X7 dan dijual pada harga lebih murah.


Bukan hanya Landwind, terkini model versi cap 'ayam' Range Rover yang dinamakan sebagai Hunkt Canticie milik Hanlong Auto mula dijual di pasaran China. Pengeluar yang berpangkalan di wilayah Hubei itu menjual Canticie pada April lalu dan sambutan yang diterima boleh dikatakan sukses.


Bentuk badan dari bonet ke belakang mirip Range Rover bahkan Hanlong juga berani meletakkan lencana Land Rover di belakang bersama lencana Sport. Namun bahagian kabin sedikit berbeza dengan rekaan asli dan kurang kemas dan berkualiti. Bahagian tengah stereng tertera lencana Hunkt.


Hunkt Canticie dikuasakan oleh enjin 2.0L turbo yang menghasilkan kuasa 218hp dan tork 370Nm bersama transmisi automatik 8-kelajuan. Pecutan dari 0-100kmj hanya mengambil masa 9.19 saat dengan kelajuan maksimum 185kmj. Ada dua varian ditawarkan iaitu pacuan roda belakang (RWD) dan versi tertinggi pacuan semua roda (AWD).


Hunkt Canticie itu dijual pada harga bermula dari Yuan 159,800 (RM100,454) dan sebagai perbandingan Range Rover di jual pada harga Yuan 1.22 juta (RM764,863) di China. Jadi anda boleh membeli lima varian tertinggi Hunkt Canticies untuk sebuah model asas Range Rover.