Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Rolls-Royce Phantom Oribe, Terima Sentuhan Jenama Fesyen Terkenal Hermas

Erywan
17/05/2021 02:47 MYT
Yusaku Maezawa adalah seorang usahawan yang gemar mengumpul tembikar antik Jepun yang dikenali sebagai ‘oribe’. Bagi melengkapkan koleksinya, beliau memesan sebuah Rolls-Royce Phantom yang direka khas dengan kerjasama jenama fesyen terkenal iaitu Hermes.


Inspirasi tembikar itu boleh dilihat pada bahagian luaran Phantom berkenaan, di mana ia menampilkan warna hijau Oribe Green yang dihasilkan secara eksklusif di kilang Rolls-Royce di Goodwood. Warna itu dipadankan dengan kemasan krim putih yang digunakan untuk menghiasi bampar hadapan dan belakang, serta skirt sisi.


Di dalam, skema warna ini diteruskan menerusi penggunaan upholsteri kulit Hermes Enea Green yang membaluti segenap ruang kabin, termasuk pada stereng, tuil gear, tombol sistem pendingin hawa, panel instrumen, konsol tengah, kompartmen serta peti penyejuk champagne.


Bukan itu sahaja, sentuhan mewah Hermes juga boleh didapati pada kusyen perehat kepala dan perehat kaki pada tempat duduk belakang, manakala aksen Seashell White dan karpet lantai bulu biri-biri yang didatangkan dalam warna sama sekali gus melahirkan suasana menenangkan dan membuatkan ruang kabin terasa lebih luas.


Menariknya, pelindung pembesar suaranya diperbuat daripada veneer kayu Open Pore Royal Walnut yang dilubangkan secara teliti. Kayu ini digunakan pada panel pintu, konsol tengah dan belakang, dan meja piknik.


Buat pertama kalinya untuk Rolls-Royce, kanvas ‘Toile H’ digunakan untuk membalut perehat tangan pintu, kedua-dua konsol tengah serta pelapik bumbung. Sebagai penyudah, terdapat cetakan timbul signatur ‘Habillé par Hermès Paris’ pada penutup kompartmen sarung tangan.

#Rolls #Royce
;