Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Rossi Boleh Buat Kejutan Di MotoGP 2021” - Razlan Razali

Erywan
02/03/2021 01:43 MYT
Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) akhirnya melancarkan senjata utamanya untuk Kejohanan MotoGP Dunia untuk musim ketiga.

Dua penunggang utamanya membabitkan Franco Morbidelli Dan Valentino Rossi yang menggunakan Yamaha YZR-M1 dengan liveri baharu untuk 2021.

Pelancaran itu diadakan secara maya yang diperkenalkan oleh Prinsipal SRT, Datuk Razlan Razali sebentar tadi.


Meskipun pasukan itu tidak melabelkan siapa pelumba utama dan kedua dalam pasukan, Razlan meletakkan Morbidelli sebagai tunjang utama dalam merebut kejuaraan MotoGP musim 2021.

“Bagaimanapun saya tidak mahu meletak mereka dengan nombor-nombor itu kerana mahu melayan mereka semua dengan sama.

“Kami mahu lihat apa yang boleh dilakukan oleh Morbidelli ke hadapan, tetapi Valentino juga boleh membuat kejutan kepada semua.

“Dia cuma kurang bernasib baik musim lalu. Saya yakin dia akan kembali lebih kuat dan beraksi dengan penuh kompetitif dalam pusingan pertama,” katanya.


Sementara itu Razlan berkata, pihaknya berbangga mewakili Malaysia dan PETRONAS di pentas dunia di MotoGP untuk musim ketiga sebagai PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team.

Menurutnya, beliau menantikan musim ini dengan semangat untuk memberi peluang terbaik kepada Franco dan Valentino.

“Bagi Franco, ini adalah peluang yang luar biasa untuk mencapai perkara yang lebih baik pada tahun 2020 dan untuk Valentino kami berharap pasukan baru ini akan memberinya peluang terbaik untuk memanfaatkan bakat serta kepakarannya.

“Tahun 2020 adalah tahun yang luar biasa bagi kami, tetapi kami sedar bahawa selalu ada bahagian di mana kami boleh meningkatkannya.

“Kami mengharapkan pertarungan sengit di musim ini dan kami akan terus berusaha untuk menyokong Franco dan Valentino serta memastikan mereka memperoleh apa yang diminta,” katanya.

;