Antarabangsa
Selamat tinggal! - Subaru WRX STI EJ20 Final Edition
Selepas 30 tahun, Subaru mengumumkan bahawa keluarga enjin EJ yang sinonim dengan model Impreza dan Legacy akan dibersarakan pada akhir tahun ini.
Bagi meraikan warisan enjin ‘boxer’ yang popular itu, Subaru memperkenalkan model edisi terhad WRX STI EJ20 Final Edition pada acara Tokyo Motor Show 2019 yang berlangsung baru-baru ini.
Terhad kepada 555 unit untuk pasaran Jepun sahaja, model ini tampil dengan skema warna yang tidak asing lagi bagi WRX iaitu biru World Rally Blue Pearl dan emas pada rim aloi BBS berukuran 19 inci.
Bahagian dalaman pula menampilkan kerusi bucket Recaro berserta upholsteri suede yang turut digunakan pada roda setereng. Selain pada bahagian jeriji dan bampar belakang, kemasan merah yang sporty turut boleh dijumpai pada tombol gear, butang penghidup enjin, serta logo STI pada tempat duduk dan stereng.
Menggunakan varian Type S sebagai asas, WRX STI EJ20 Final Edition didatangkan dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo yang menjana 304hp dan 422Nm. Kotak gear manual enam kelajuan ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke kedua-dua gandar.
Walaupun mempunyai output lebih rendah berbanding versi S207 dan S208, enjin itu mendapat beberapa penambahbaikan seperti omboh seimbang serta klac dan ‘flywheel’ baharu. Plak khas “EJ20 Final Edition” sedikit sebanyak meningkatkan keeksklusifan model ini.
Dijual pada harga 4,110,000 yen (RM158,050), WRX STI EJ20 Final Edition tidak boleh didapati di bilik pameran kerana ia hanya boleh dibeli menerusi sistem loteri seperti yang pernah dilakukan oleh Subaru sebelum ini dengan model edisi terhad S208.
Must-Watch Video