TEMPATAN
Selepas 12 Tahun, Akhirnya Generasi Baharu Nissan Z Lancar Secara Rasminya
Selepas penantian 12 tahun, Nissan Z generasi ketujuh akhirnya dilancarkan secara rasminya buat peminat kereta sport jenama Jepun itu.
Dalam tempoh lebih 50 tahun diperkenalkan, model atas nama Z sudah pun dijual 1.8 juta unit dan menjadi kereta sport yang laris di dunia. Jentera itu dijangka dijual di pusat pengedar Nissan Amerika Syarikat pada musim bunga pada tahun hadapan.

Pada masa sama, ia turut ditawarkan dengan versi edisi terhad, Nissan Z Porto Spec yang eksklusif didatangkan warna kuning dengan kaliper brek logo Z, rim aluminium gangsa, kerusi balutan kulit dengan kemasan kuning. Versi edisi terhad itu hanya ditawarkan 240 unit sahaja.


Berhubung spesifikasinya pula, Nissan Z ini boleh dikatakan sebuah jentera yang sesuai untuk kaki-kaki kereta diluar sana. Ini kerana ia mempunyai enjin turbo dan juga ditawarkan dengan transmisi manual.
Berbanding enjin inspirasi biasa sebelumnya, generasi Z baharu ini dijana enjin 3.0 liter V6 twin turbo. Kuasanya meningkat 68hp dan tork lebih 30 peratus berbanding generasi sebelumnya. Ia kini menyalurkan 400hp dengan 475 tork pada 5,600rpm.

Bahagian luaran, ia masih menerima sentuhan rekaan tradisi kereta sport pacuan roda belakang dengan mempunyai bonet panjang, rendah dan pada masa sama memiliki bentuk generasi pertama Z.
Ia juga dilengkapi dengan teknologi terkini membabitkan lampu LED dua separa bulat inspirasi reka bentuk Fairlady 240ZG pada tahun 70-an. Lampu belakang pula mengambil reka bentuk Z32 300ZX.

Ruang kabin generasi Z baharu ini dipenuhi dengan ciri moden, tetapi ia masih menggunakan inspirasi model sebelumnya. Ini membabitkan tiga meter anolog pada papan pemuka, selain dilengkapi sistem audio sesentuh bersaiz 8 inci pada bahagian tengahnya.
Pereka ruang dalaman juga meminta pandangan daripada pemandu profesional Nissan Super GT500, Tsugio Matsuda untuk memberi idea kabin kereta sport yang sesuai untuk pelbagaikan gaya situasi pemanduan.

Rekaan kerusinya pula, ia diambil daripada pembangunan model Nissan GT-R untuk memastikan badan pemandu sentiasa melekat pada kerusi dan turut memberi keselesaan.

Must-Watch Video