Antarabangsa
Semakin Menyerlah Selepas Toyota RAV4 Prime Dengan Sentuhan Modellista
Toyota mula menawarkan RAV4 Prime sekitar hujung tahun 2019 dan pelanggan boleh menambah baik imej model crossover itu dengan tawaran pakej terbaharu daripada Modellista.
Modellista atau nama penuhnya Toyota Modellista International yang terbentuk pada tahun 1997 dan bertanggungjawab mencipta komponen aftermarket sama ada untuk badan kenderaan Toyota atau menyerikan ruangan kabin.
Untuk RAV4 Prime, pakej Modellista merangkumi aspek luaran dan dalaman tetapi malangnya, tiada pula sebarang komponen mekanikal baharu untuk meningkatkan kuasa enjin. Jika mahu, pelanggan mungkin kena cari firma talaan lain.
Secara ringkas, ini pakej kosmetik semata-mata. Pakej Modellista Aero Parts merangkumi panel splitter depan, skirt sisi dan penutup kecil bahagian sisi bampar belakang.
Pakej Cool Shine pula menyerikan gril depan yang lebih cerah, hiasan perumah lampu depan dan kemasan pada pintu but belakang serta pembuka pintu.
Untuk kabin, naik taraf pakej membabitkan penukaran lampu kabin kepada jenis LED. Lampu LED juga boleh ditambah pada bahagian panel pintu but dan di bahagian tali pinggang keledar.
Pelanggan juga boleh memilih pakej rim sebesar 20 inci WingDancer X IV hitam dan tayar Michelin Pilot Sport 4 SUV daripada pihak Modellista.
Toyota memasang enjin jenis 2.5 liter empat silinder dan seunit motor elektrik pada model ini untuk menjadikan kuasa output sebanyak 302hp. Syarikat Jepun itu mendakwa crossover dengan berat lebih dua tan ini mampu pecut ke 97 kilometer sejam dalam masa 5.7 saat.
Jika berlumba drag dengan model Camry, pemandu RAV4 boleh tersenyum kerana model sedan itu mungkin sedikit sukar memintas disebabkan cuma menjana output 301hp.
Mungkin Toyota boleh menawarkan pakej sama kepada pelanggan di Malaysia memandangkan model ini sudah dilancarkan di pasaran tempatan.
Must-Watch Video