Tempatan
Shawn Lee dan Tengku Djan pamer aksi bergaya Toyota Vios Challenge Kuala Terengganu
Bekas juara musim pertama, Shawn Lee dan Tengku Djan Ley kembali dengan penuh gaya dalam saingan pembukaan musim ketiga Toyota GAZOO Racing (TGR) Festival dan Toyota Vios Challenge yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, semalam.
Selepas menamatkan musim kedua dengan berentap sesama pelumba amatur dalam kelas Sporting, Shawn dan aktor Shukri Yahaya kini menjadi dua pelumba yang mendominasi kelas Promotional, dikhaskan untuk pelumba selebriti.
Tengku Djan pula, kembali beraksi dengan menamatkan perlumbaan pertama bagi musim ketiga ditempat kedua dalam Kelas Super Sporting yang dikhaskan untuk pelumba profesional.
Berlangsung di litar jalanan binaan khas sepanjang 1.65km, TGR Festival dan Toyota Vios Challenge ialah siri perlumbaan jalanan perdana Malaysia.
KELAS PROMOTIONAL
Bagi kelas ini, Shawn dan Shukri masing-masing menduduki tempat pertama serta kedua dalam perlumbaan sebanyak 20 pusingan.
Di tempat ketiga diikuti Diana Danielle yang mana beliau adalah juara keseluruhan Toyota Vios Challenge bagi musim kedua.
Beliau sepatutnya menamatkan saingan di kedudukan keempat apabila ketinggalan kira-kira 37 saat di belakang di belakang pelawak Nabil Ahmad, tetapi peluang menaiki podium kembali terbuka apabila lawannya itu terbabit kemalangan apabila berlanggar tembok konkrit. Turut tersingkir daripada saingan ialah pelumba baharu Syafiq Kyle.
Khai Bahar, Nabila Razali, Wany Hasrita, Janna Nick dan Ain Edruce pula masing-masing menamatkan saingan di tempat keempat hingga lapan.
KELAS SUPER SPORTING
Pelumba profesional, Mark Darwin dari Laser Motor Racing menduduki tempat pertama diikuti Tengku Djan (23 Motors) di tempat kedua serta Bendon Lim daripada Tedco Racing.
Tengku Djan memula perlumbaan dengan cemerlang pada musim ini dengan menaiki podium selepas tidak menyertai pada musim kedua.
KELAS SPORTING
Dalam kelas ini, pasukan Panglima City Racing yang dipandu oleh Kenneth Koh mendahului menamatkan garisan penamat dan diikuti Clement Yeo (Pasukan Distinctive Model) serta ditempat ketiga dimenangi Datuk Ken Foo (Kulim Topwheels).
Ketiga-tiga pelumba mengekalkan posisi masing-masing bermula awal perlumbaan hingga pusingan tamat dengan jarak masa 3 saat setiap seorang.
Perlumbaan kedua Toyota Vios Challenge bersambung pada hari ini.
Hari kedua TGR Festival akan diteruskan hari ini yang pasti menjanjikan lebih banyak drama. Ada juga acara menarik untuk dinikmati pengunjung yang datang ke acara ini seperti pameran dan pandu uji kenderaan Toyota baharu, persembahan drift daripada pelumba drift Jepun dari Toyo Tires, cabaran simulator perlumbaan, permainan pentas dan persembahan selebriti, aktiviti promosi, cabutan bertuah, jualan aksesori, dan sesi tandatangan bersama selebriti kelas Promotional.
Keputusan
Kelas Promotional
- Shawn Lee
- Shukri Yahaya
- Diana Danielle
- Khai Bahar
- Nabila Razali
Kelas Sporting
- Kenneth Koh-Panglima City Racing
- Clement Yeo-Distinctive Model
- Dato’ Ken Foo-Kulim Topwheels
- Hayden Haikal-S&D Motorsports
- Wong Chin Eeg-Hiewa Racing Team
Kelas Super Sporting
- Mark Darwin-Laser Motor Racing
- Tengku Djan Ley-23 Motors
- Brendon Lim-Tedco Racing
- Kenny Lee-Kegani Racing
- Freddie Ang-Telagamas Toyota
Must-Watch Video