Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

SSC Tuatara Aggressor Ini Memiliki 2,200hp!

Erywan
01/06/2021 05:11 MYT
Pada awal tahun ini, hypercar dari California iaitu SSC Tuatara mencuri tumpuan dunia apabila berjaya mencatat rekod kelajuan 455.3km/j. Walaupun pencapaian itu diselubungi kontroversi dan dipertikaikan kesahihannya, ia sekurang-kurangnya berjaya meletakkan nama Tuatara di persada dunia.


Kini, SSC memperkenalkan dua varian baharu Tuatara iaitu Striker dan Aggressor. Secara asasnya, kedua-dua varian ini menawarkan peningkatan dari segi aerodinamik, kuasa yang lebih tinggi, serta lebih banyak pilihan kustom.


Bermula dengan Striker, ia menampilkan kit badan yang lebih agresif yang merangkumi ‘splitter’ dan ‘dive plane’ pada bahagian hadapan, ‘rocker’ pada bahagian sisi, serta bilah penstabil dan ‘diffuser’ pada bahagian belakang. Menurut SSC, kit aerodinamik ini mampu menjana hampir 500kg ‘downforce’ pada kelajuan 257km/j, iaitu tiga kali ganda lebih tinggi berbanding versi standard.


Jentera ini kekal dengan enjin twin-turbo V8 bersesaran 5.9-liter yang berupaya menghasilkan 1,750hp dengan menggunakan bahan api E85. Transmisi automatik tujuh kelajuan ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda belakang.


Sementara itu, Aggressor pula dibangunkan khas sebagai senjata litar dan ini menjadikannya tidak sah untuk dipandu di jalan raya. Ia dilengkapi dengan kit badan yang sama dengan Striker namun enjinnya boleh dinaik taraf sehingga tahap 2,200hp dengan beberapa penambahbaikan seperti camshaft yang lebih agresif, serta mampatan dan boost yang lebih tinggi.


Untuk ruang dalaman, versi ‘hardcore’ ini hadir dengan papan pemuka gentian karbon, sangkar keselamatan dan abah-abah perlumbaan lima poin. Tambah SSC, pembeli jentera ini diberi kebebasan untuk mendapatkan apa sahaja naik taraf prestasi dan reka bentuk yang dimahukan.


Harga kedua-dua jentera ini masih belum diumumkan namun apa yang diketahui setakat ini adalah pengeluarannya akan dihadkan kepada 100 unit untuk Striker dan 10 unit sahaja untuk Aggressor.

#SSC
;