Percaya atau tidak, jenama permainan ‘die cast’ terkenal iaitu Hot Wheels sudah pun menyambut ulang tahunnya yang ke-50.

Bagi meraikannya, Hot Wheels berganding bahu dengan jenama aftermarket yang tidak asing lagi iaitu Momo untuk menghasilkan ‘hadiah’ istimewa bagi peminat mereka di seluruh dunia.

‘Hadiah’ dimaksudkan adalah stereng edisi khas yang boleh digunakan pada kereta sebenar.


Menggunakan reka bentuk model klasik iaitu Prototipo, stereng itu dihiasi dengan balutan Alcantara serta benang emas dijahit dengan tangan.

Bukan itu sahaja, stereng ini juga menampilkan motif Hot Wheels yang diukir menggunakan laser, serta logo ‘50th Anniversary’ pada bahagian tengah. Ia didatangkan dalam kotak khas, sekali gus menaikkan nilainya.

Kerjsama antara dua syarikat itu bukannya sesuatu yang baru. Sebelum ini, Momo pernah menghasilkan 50 unit stereng dan tombol gear untuk digunakan pada model Hot Wheels saiz sebenar seperti Bone Shaker dan Rip Rop.


Namun, atas permintaan peminat, Hot Wheels mengambil keputusan untuk menawarkan stereng ini kepada peminatnya.

Walaupun tidak mempunyai nombor siri, ia masih boleh dikira sebagai terhad dan hanya boleh dipesan melalui hotwheels.momo.com dengan harga $399.95 (RM1,666) setiap satu.