Kreatif! Seorang lelaki dan isterinya menghabiskan masa hampir 200 jam untuk mengubah suai sebuah kereta mayat menjadi replika Ecto-1. Ecto-1 ialah nama kereta yang digunakan sekumpulan pemburu hantu dalam filem blokbuster Ghostbusters.

Ross Wainwright, 42, dari Norwich, Norfolk di England membeli kereta mayat Buick Le Sabre tahun 1984 dengan harga £5,000 di eBay, sehari selepas menonton filem Ghostbusters bersama keluarganya.

"Keesokan hari, saya terjumpa kereta mayat berwarna hitam di eBay dan beritahu isteri..ini boleh jadi kereta Ghostbusters.

"Isteri saya, Kim pada awalnya nampak kurang yakin kerana tahu banyak kerja perlu dilakukan," cerita Ross.

Selepas menerima kereta mayat itu, Ross dan isteri menghabiskan wang sebanyak £15,000 (RM79,237) untuk menyiapkan replika Ecto-1.

Pasangan itu bekerja sehingga 11 malam pada setiap hari semasa menyiapkan model replika itu dan ia kini menjadi sebuah limusin untuk tujuan amal, majlis perkahwinan dan kenderaan sewa untuk majlis tarian sekolah.

Ruang kabin Ecto-1 ini mempunyai set kerusi seperti limusin dan kabinet menyimpan minuman. Ada juga papan tanda Ghostbusters didalamnya. Ross juga menggunakan kereta itu untuk menghantar anak perempuannya ke sekolah.

Bapa kepada dua anak itu pada awalnya memperuntukkan masa selama setahun untuk menyiapkan projek itu.

Namun selepas memuat naik ke media sosial dan mendapat banyak permintaan tempahan, dia berjaya memendekkan masa kepada empat bulan.

Sehingga kini, kereta replika itu sering dijadikan objek bergambar oleh orang ramai serta para peminat filem Ghostbuster.

Dalam filem sebenar, Ecto-1 dihasilkan menggunakan casis sebuah Cadillac tahun 1959. Jentera pemburu hantu itu digunakan di bandar New York dalam filem berkenaan.