Antarabangsa
Subaru BRZ Final Edition - Banyak Juga Bezanya, Boleh Buat Koleksi!
Berikutan pengenalan Toyota 86 Black Limited, kini tiba giliran Subaru BRZ pula untuk menerima model edisi akhir sebelum ia digantikan oleh model generasi baharu yang kini sedang dibangunkan.
Dikenali sebagai BRZ Final Edition, ia ditawarkan khas untuk pasaran Jerman. Hanya 100 unit model ini akan dihasilkan dan setiap satu dijual pada harga 40,270 Euro (RM192,490).
Apa yang istimewa tentang model ini adalah ia hadir dengan beberapa penambahbaikan seperti rim aloi 10-batang berukuran 17 inci, angkup brek Brembo berwarna merah dan peredam Sachs. Ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Crystal Black Silica sebagai warna standard dan Blue Pearl sebagai warna pilihan dengan bayaran tambahan sebanyak 100 Euro (RM478).
Di dalam, ruang kabin dihiasi dengan upholsteri kulit/Alcantara berwarna biru dan hitam, dengan jahitan kontras biru pada panel instrumen, panel pintu, tombol gear dan stereng. Selain lambang “BRZ” pada karpet, model ini juga mendapat lencana edisi khas yang menaikkan lagi nilai eksklusifnya. Skrin infotainmen berukuran 7.0 inci dikekalkan.
Turut dikekalkan adalah enjin ‘boxer’ 2.0-liter empat silinder yang telah digunakan sejak hari pertama ia diperkenalkan. Bagi versi manual enam kelajuan, enjin tersebut menghasilkan 205hp dan 211Nm, manakala bagi versi automatik ia menjana 200hp dan 205Nm.
Pelanggan yang memilih versi automatik bukan sahaja kehilangan sedikit kuasa kuda dan kuasa kilas, malah perlu mengeluarkan belanja lebih sebanyak 1,700 Euro (RM8,125).
Must-Watch Video