Subaru of America baru-baru ini memperkenalkan Crosstrek Hybrid baharu untuk pasaran negara itu. Seperti Crosstrek atau XV versi facelift yang diperkenalkan pada Jun lalu, SUV hibrid plug-in tersebut tampil dengan rekaan wajah yang lebih segar serta sistem suspensi yang sudah ditala.

Bagi model tahun 2021, bahagian bampar hadapan dan trim lampu kabus Crosstrek Hybrid diberi rekaan baharu, manakala sayap krom pada bahagian jeriji kini dihiasi dengan aksen berwarna biru khusus untuk model ini.

Sistem suspensinya ditala semula dengan gegelung dan peredam yang dioptimumkan bagi mendapatkan pemanduan yang lebih selesa, serta pengendalian dan kawalan stereng yang lebih responsif.


Crosstrek Hybrid dikuasakan oleh teknologi Subaru StarDrive yang mengintegrasikan enjin ‘boxer’ 2.0-liter empat silinder, sepasang motor elektrik, kotak gear Lineartronic CVT dan sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical All-Wheel-Drive ke dalam satu pakej.

Satu daripada motor elektrik terbabit berfungsi sebagai penghidup enjin dan penjana bateri sistem hibrid, manakala satu lagi bertindak sebagai punca bekalan kuasa untuk pemanduan hibrid dan elektrik. Bukan itu sahaja, ia juga akan mengecas bateri hibrid menerusi sistem brek janaan semula.

Menurut Subaru, sistem hibrid berkenaan menawarkan jarak pemanduan keseluruhan sejauh 772km, manakala jarak pemanduan dalam mod elektrik sepenuhnya adalah kira-kira 27km. Penggunaan bahan api pula adalah 14.8 km/l mengikut penilaian EPA.


Crosstrek Hybrid tidak dibangunkan untuk pemanduan urban semata-mata. Ia juga sesuai untuk dibawa merentasi permukaan bumi yang mencabar dengan adanya ciri-ciri seperti X-Mode, Hill Descent Control, jarak lega tanah 8.7 inci dan rim berukuran 18 inci. Bukan itu sahaja, kelebihan seperti kapasiti menunda sehingga 453kg, rak bumbung dan ruang kargo sebesar 1,220 liter menjadikannya kenderaan yang ideal untuk aktiviti luar.

Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan sistem Subaru Starlink Multimedia Plus dengan Apple CarPlay dan Android Auto, Keyless Access, butang penghidup enjin dan sistem pemantauan tekanan tayar. Ia juga mendapat teknologi bantuan pemandu EyeSight yang merangkumi ciri-ciri Automatic Pre-Collison Braking, Lane Keep Assist, Lane Departure and Sway Warning dan pelbagai lagi.

Crosstrek Hybrid dijual pada harga $35,345 (RM143,500). Pelanggan yang inginkan lebih kelengkapan boleh mendapatkan pakej tambahan yang ditawarkan pada harga $2,500 (RM10,150). Pakej ini mengandungi bumbung suria, pemanas stereng, sistem multimedia dengan navigasi kawalan suara dan sistem audio Harman Kardon dengan lapan pembesar suara.