Apa yang anda lihat ini adalah model supercar pertama dunia dengan enam tayar yang pernah ditawarkan untuk jualan di pasaran global.

Dinamakan sebagai Covini C6W, tidak dapat dipastikan berapa unit berjaya sebenarnya pernah dijual sebelum ini. Kereta ini bukannya satu model baharu tetapi projeknya pernah dipersembahkan sejak tahun 2008.

Tahukah anda, projek kereta ini mula lahir sekitar tahun 1974 dan mengambil masa selama 34 tahun untuk direalisasikan pembinaannya? Mengapa begitu lama? Mudah sahaja, zaman itu bukannya satu perkara mudah untuk menambah dua buah tayar tambahan pada sesebuah kereta. Pendek kata, batasan teknologi dan kepakaran.

Berdasarkan laman web Covini Engineering, pelanggan masih boleh menempah satu lagi unit supercar ini dengan bayaran AS$650,000 dan ini tidak termasuk kos-kos pakej tambahan.

Kereta ini memiliki sepasang tayar tambahan untuk membantu meningkatkan keupayaan cengkaman roda pada bahagian hadapan. Tambahan cengkaman ini membantu pecutan yang lebih baik dan kestabilan semasa membelok.

Malah enam roda itu masing-masing dilengkapi sistem brek cakera dengan angkup untuk menguatkan kuasa memberhentikan jentera ini.

Ada dua pilihan enjin Audi jenis 4.2 liter V8 dengan janaan kuasa 500hp dengan kotak gear enam kelajuan manual tradisional atau ada opsyen klac tunggal enam kelajuan. Jika mahu, anda juga boleh memilih enjin W12 dengan 900hp.

Badan kereta dengan dua tempat duduk ini diperbuat menggunakan gentian kaca dan karbon, sekali gus membantu mengekalkan berat kasar kurang daripada 1,200 kilogram.