Jenama Suzuki mungkin sudah terkubur di Malaysia namun di beberapa negara lain, ia masih lagi aktif menghasilkan model-model kompak yang menarik. Terbaru, Suzuki memperkenalkan Ignis facelift yang menampilkan rekaan lebih segar dan varian hibrid baharu.


Perubahan pada bahagian luaran tidak begitu ketara dan hanya meliputi rekaan jeriji serta bampar hadapan dan belakang baharu. Bagaimanapun, pelanggan kini mempunyai tiga pilihan warna baharu iaitu Caravan Ivory Pearl Metallic, Rush Yellow Metallic dan Tough Khaki Pearl Metallic.


Untuk ruang dalaman, Suzuki menyertakan kluster meter baharu yang dikelilingi kemasan hitam dan putih, dan panel instrumen yang direka semula. Untuk menyerikan lagi suasana kabin, syarikat itu turut memperkenalkan dua pilihan warna baharu untuk trim iaitu Lazulli Medium Blue Pearl dan Medium Grey Metallic.


Versi facelift ini hadir dengan enjin petrol berkapasiti 1.2-liter empat silinder yang menghasilkan 83PS dan 107Nm dari 2,800rpm. Menurut Suzuki, enjin itu diberikan beberapa penambahbaikan termasuk sistem suntikan bahan api dan sistem pemasaan injap berubah-ubah (VVT) baharu yang menjadikannya lebih responsif dan cekap bahan api.


Enjin terbabit dibantu oleh sistem hibrid yang dilengkapi dengan bateri lithium-ion berkapasiti 10Ah serta Integrated Starter Generator (ISG). Gabungan ini memberikan kuasa tambahan sebanyak 3PS dan 50Nm yang dikatakan dapat membantu Ignis memecut dengan lebih lancar.


Bergantung pada varian, Ignis didatangkan dengan transmisi manual lima kelajuan atau CVT, pacuan roda hadapan atau pacuan empat roda (4WD) Allgrip Auto. Sebagai tambahan, versi 4WD turut mendapat ciri Hill Descent Control dan Torque Control yang berfungsi untuk membekalkan cengkaman ketika kenderaan bergerak di atas permukaan yang licin.