Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Suzuki Swift Tampil Wajah Lebih Segar Bagi Versi Facelift

Erywan
24/09/2020 04:18 MYT
Berikutan pelancarannya di Jepun pada Mei lalu, Suzuki Swift facelift kini memasuki pasaran United Kingdom dengan penampilan yang lebih segar dan enjin hibrid baharu.

Seperti versi JDM, Swift pasaran UK mendapat gril dan lampu utama yang direka semula serta tiang yang diwarnakan hitam bagi mendapatkan efek bumbung terapung. Lampu LED hadapan dan belakang didatangkan standard pada semua varian.


Masuk ke bahagian dalam, pelanggan akan menemui paparan sentuh berukuran tujuh inci lengkap dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Pelanggan juga boleh mendapatkan kad SD yang menyokong sistem navigasi tiga dimensi.


Di bawah hud, terdapat enjin Dualjet (K12D) 1.2-liter yang digandingkan dengan sistem hibrid 12V dengan Integrated Starter Generator (ISG). Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 83PS dan 107Nm, sekali gus membolehkan hatchback ini memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 12.2 saat bagi varian CVT.


ISG memberikan kuasa tambahan sebanyak 2.3kW dan 50Nm, serta membantu enjin semasa hendak mula memecut dan menjana tenaga elektrik menerusi pembrekan janaan semula. Kuasa untuk sistem ISG terbabit dibekalkan oleh bateri berkapasiti 10Ah.


Swift boleh didapati dengan sistem pacuan empat roda ALLGRIP AUTO, namun ciri ini hanya ditawarkan pada varian tertinggi iaitu SZ5 dengan transmisi manual. Ia membantu dalam memberikan tahap cengkaman yang lebih tinggi di atas permukaan yang mencabar atau licin dengan menyalurkan lebih tork ke gandar belakang.


Sementara itu, Adaptive Cruise Control (ACC) pula disertakan secara standard pada semua varian. Sistem ini menggunakan radar untuk mengukur jarak dengan kenderaan di hadapan dan seterusnya mengekalkan kelajuan mengikut jarak yang dipilih oleh memandu.

Dipasang di Sagara, Jepun, Suzuki Swift facelift dijual pada harga bermula dari £14,749 (RM78,640) untuk varian asas SZ-L hingga £18,749 (RM99,968) untuk SZ5 ALLGRIP.

#Suzuki
;