Sekali imbas reka bentuk jentera dua roda pilihan drebar.my kali ini menampilkan skuter moden dengan gaya klasik dan kelihatan sedikit vintaj.

Reka bentuk tidak ubah seperti motosikal keluaran Piaggio iaitu Vespa dan Lambtretta zaman era 60-an, namun menampilkan pelbagai ciri-ciri moden yang digilai peminat khususnya golongan muda.

Kemasukan jentera jenama Britain itu di pasaran Malaysia sekitar tahun 2015, ternyata memeriahkan lagi arena permotoran negara.

Penangan Scomadi TS 125 cukup mencairkan jiwa peminat motosikal klasik Vespa dan Lambretta berikutan gaya yang ditamilkan hampir sama.

Malah semenjak awal kemunculannya sehingga kini banyak kelab Scomadi di beberapa negeri diwujudkan.

Sebelum itu mungkin ramai tertanya-tanya apa itu Scomadi TL 125?

TL adalah singkatan Turismo Leggera manakala Scomadi adalah label nama pengeluar motosikal kelahiran Britain.

Biarpun ia jenama Britain, ia sebelum ini dipasang di China dan kini difahamkan mula melakukan pemasangan di Thailand.

Bagi segmen modifikasi kali ini, drebar.my menampilkan Scomadi TL 125 milik Hayrullizwan Hashim 35 dari kelab Scomadi Johor.

Ia menampilkan gaya modifikasi sederhana, tetapi cukup menarik dan mampu menarik ramai yang merenungnya ketika ditunggang di jalan raya.

Biarpun diketahui reka bentuknya sudah cukup menambat hati, bagi pemilik ia perlu diubah suai untuk menyesuaikan dengan gaya moden terkini.

Enjin silinder tunggal berkapasiti 124.6cc dengan dua injap langsung tidak diusik dan dibiarkan dalam kondisi standard.

Cuma penampilan yang diubah membabitkan penggunaan tempat letak barang balutan krom hadapan dan belakang, pelindung angin, tempat duduk gaya vintaj kustom dan bag kit perkakas kulit.

Bagi memberi sedikit kelainan, ia dilengkapi dengan lampu limpah dan cermin sisi juga diubah suai.

Menariknya ia turut disumbat pemain MP3 dan radio. Jadi sambil menunggang pemiliknya boleh mendengar muzik yang diminati.

Ekzosnya juga tampil unik dengan sistem ekzos ‘U Turn’. Jika dilihat secara depan mata, saluran paip itu kelihatan berbelit-belit yang mana menghamburkan bunyi berbeza dari asal selain memberi lebih kuasa.

Perkaranya yang membuatkan ia kelihatan menawan apabila jentera itu dilekatkan pelekat lusuh tema Great Britain sekali gus membuatkan ia unik.

Kos modifikasi tidak terlalu tinggi apabila pemiliknya hanya berbelanja kurang RM2,000 untuk menjadikan skuter moden itu tampak menggoda.