Sempena majlis pelancaran Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020), pihak yang menerajui projek Kereta Nasional Ketiga mendedahkan gambar teaser bagi kereta protaip berkenaan.

Bagaimanapun, kereta itu diletak dalam sebuah kotak dan mempunyai dua lubang sebesar iPhone X Max di bahagian belakang dan hadapan.

Menerusi lubang itu, kereta berkenaan ditutupi dengan kain dan hanya lampu belakang dan hadapan yang didedahkan.

Menerusi maklumat di luar kotak itu, ia mempunyai reka bentuk moden dan futuristik, seronok dipandu, pengendalian yang baik, ketersambungan dalam kenderaan dan Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS).

Produk itu bakal menjadi satu kenderaan bijak pilihan pengguna yang bakal dilengkapi dengan ciri Mobiliti Termaju. Selain itu, ia menjadi kenderaan yang berbaloi untuk dimiliki serta memiliki tahap penggunaan minyak lebih cekap.

Sementara itu, NAP 2020 dirangka untuk meningkatkan lagi penyelidikan teknologi baharu, peluang perniagaan dan pekerjaan SME; pembangunan proses pembuatan baharu dan nilai rantai di dalam sektor automotif lokal.

Ia juga memfokuskan kepada Kenderaan Generasi Berikutnya (NxGV), Mobiliti sebagai sebuah perkhidmatan (Maas), dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan garis masa untuk tempoh 10 tahun (2020-2030).

Selain daripada itu, NAP 2020 juga turut memberikan fokus kepada penambahbaikan posisi sedia ada, dimana penyertaan syarikat tempatan di dalam rantaian bekalan domestik dan global akan turut dipromosikan.

Fokus juga akan turut diberikan kepada penyelidikan dan pembangunan, penyediaan tenaga kerja tempatan, sokongan kepada projek kereta nasional serta meningkatkan lagi aspek eksport, pelaburan dan volum penghasilkan tempatan.