Antarabangsa
Teknologi Honda Sport Hybrid i-MMD, betul-betul canggih dan jimat minyak - 31km/l untuk Insight
Visi 2030 bagi Honda Motor Company mahu dua pertiga jualan kenderaannya dijanakan dengan kuasa elektrik.
Mungkin bagi anda, ia masih lagi perjalanan yang jauh, tetapi tidak bagi syarikat pengeluar dari Jepun itu. Mereka kini sedang giat sedang menghasilkan teknologi bebas karbon untuk kesejahteraan masyarakat global pada masa akan datang.
Namun sebelum mencapai visi itu, Honda Motor mahu menghasilkan secara berperingkat yang kini mereka mula memperluaskan rangkaian kenderaan hibrid. Dan sehingga kini, syarikat berkenaan sudah pun mempunyai enam Kenderaan Hibrid Elektrik (HEV) menerusi Fit, Insight, CR-V, Accord, Step Wgn dan Odyssey.
Keenam-enamnya menggunakan rangkaian kuasa baharu iaitu iaitu Sport Hybrid i-MMD (Intelligent Multi-Mode Drive). Ia mempunyai tiga mod berbeza iaitu EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive yang mana sistem akan memilih secara automatik untuk pemanduan lebih cekap serta menjimatkan bahan api.
Sport Hybrid i-MMD juga menyamai dengan kenderaan elektrik dan ia mempunyai dua motor sistem hibrid iaitu traction serta generator. Uniknya, rangkaian kuasa itu menggunakan transmisi E-CVT yang sangat berbeza dengan CVT konvensional. E-CVT ia tidak mempunyai tali atau puli (pulley) tetapi menggunakan motor traction yang bertindak seakan-akan tugas CVT.
Jadi fungsi E-CVT lebih cekap untuk menyalurkan kuasa ke roda dan pada masa sama kurang bunyi bising berbanding CVT. Ia turut lebih ringan kerana tidak mempunyai kotak gear, sekali gus mampu memberi tahap penggunaan minyak lebih baik. Buat masa ini Sport Hybrid i-MMD ditawarkan dengan dua enjin berkapasiti 1.5 liter dan 2.0 liter.
Bagi enjin 1.5 liter, ia menyalurkan kuasa output 109PS pada 6,000rpm (enjin sahaja) dan 131PS antara 4,000 sehingga 8,000rpm serta tork 267Nm antara 0 sehingga 3,000rpm (gabungan kuasa enjin dan motor). Tahap penggunaan bahan apinya boleh mencecah 31.4km bagi seliter bahan api.
Enjin 2.0 liter pula, output mencecah 145PS pada 6,200rpm dengan tork setinggi 175Nm pada 4,000rpm (enjin sahaja), manakala gabungan enjin dan motor boleh mencecah 184PS antara 5,000 sehingga 6,000rpm serta tork mencecah 315Nm antara 0 sehingga 2,000rpm.
Jika berbicara pasal teknikal sahaja, mungkin ia agak sukar untuk memastikan Sport Hybrid i-MMD bagus atau tidak. Jadi penulis berkongsi sedikit pengalaman ketika menguji Sport Hybrid i-MMD bagi model Honda Insight dan CR-V berhampiran Litar Twin Ring Motegi, Jepun, baru-baru ini.
Honda Insight
Jentera yang diuji kali ini adalah generasi ketiga yang dilancarkan pada tahun ini. Jika dilihat dari reka bentuknya, ia seolah-olah kelihatan adik kepada Honda Civic yang mempunyai lampu sama pada bahagian hadapan.
Jentera yang dipandu ini menggunakan enjin 1.5 liter dan penulis hanya sempat memandunya kira-kira kurang 10 minit. Dalam tempoh itu, penulis boleh katakan prestasinya sangat lancar sebaik sahaja kaki menekan pedal minyaknya. Agak tidak keterlaluan bahawa boleh katakan jentera ini sangat ringan untuk meluncur di litar berkenaan.
Bunyi bising daripada enjin yang memasuki ruang kabin juga agak kurang biarpun dikerah pada RPM lebih tinggi. Ini ternyata sistem E-CVT yang digunakan cukup bagus berbanding CVT konvensional.
Rasanya memang seperti CVT konvensional, tetapi pada hakikatnya ia tidak mempunyai tali atau puli. Bagi prestasi kelajuan maksimum, penulis tidak berpeluang kerana cuaca tidak mengizinkan kerana hujan lebat sepanjang pandu uji itu, lagi pun litar itu sangat pendek serta sempit.
Honda CR-V
Bagi SUV ini, prestasinya agak baik dan boleh dikatakan rasa ada kuasa seperti enjin 1.5 liter turbo yang ada di negara kita. Cuma rasa tindak balasnya pada awal untuk menggerakkan SUV itu rasa lebih bagus, kerana ia dijanakan oleh tenaga elektrik sepenuhnya.
Apabila mahu mengerah kuasa yang lebih, enjin dihidupkan serta-merta dan memberi prestasi lebih sempurna ketika penulis mahu mengejar kenderaan di hadapan.
Cuma penulis rasakan, kedapan bunyinya sedikit berkurang daripada Insight kerana bunyi enjin lebih jelas meresap masuk ke ruang kabin. Apa yang lebih penting, SUV ini memberi tahap penjimatan lebih baik dengan jarak 25km bagi setiap liter bahan api.
Secara jujur, teknologi yang baharu ini bukan sahaja jimat minyak dan mesra alam sekitar, tetapi kenderaan mempunyai kuasa lebih bagus berbanding enjin konvensional.
Bagi pasaran Malaysia, Honda Malaysia Sdn Bhd sudah pasti mereka akan membawa masuk kenderaan dengan teknolgi Sport Hybrid i-MMD ini. Cuma menjadi persoalan, model mana, adakah Honda Fit, CR-V, Accord dan Odyssey. Kalau ada maklumat baru, kami akan maklumkan kepada anda.
Must-Watch Video