Antarabangsa

Tempahan Toyota Innova 2021 Kini Dibuka, Kemas Kini Pengayaan Dan Sistem Keselamatan

gempak
Erywan
05/01/2021
07:23 MYT
Sponsor Banner
Tempahan Toyota Innova 2021 Kini Dibuka, Kemas Kini Pengayaan Dan Sistem Keselamatan
Selepas Fortuner, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) bakal melancarkan Toyota Innova 2021 dengan kemas kini terhadap penggayaan serta kelengkapan, membabitkan juga tambahan sistem keselamatan sebagai ciri standard.
Mengekalkan gaya crossover dengan kelebihan ruang dalaman yang fleksibel, Innova 2021 menerima perubahan kosmetik untuk bahagian depan yang memberikan penampilan lebih kemas dan bersih.
Tema kemasan hitam dan krom digunakan pada gril, sementara perumah cermin sisi dalam warna krom, lengkap dengan lampu isyarat (bagi varian Innova 2.0X dan Innova 2.0G). Bahagian lampu kabus turut diberikan rekaan baru, menyumbang kepada imej yang lebih menonjol.
Bagi varian Innova 2.0X, ia juga dilengkapi dengan pembaharuan gaya eksklusif seperti kemasan lengkuk tayar baru untuk melindungi bahagian badan, kemasan sisi badannya bersama aksesori skirting.
Ia juga dilengkapi rim aloi 17-inci dalam warna Dark Mica Metallic berbanding hitam biasa, manakala rim untuk Innova 2.0G pula menerima rekaan baru yang lebih dinamik.
Di belakang, kemasan pintunya diberi rekaan baru, sementara landasan pada bumbung (hanya pada Innova 2.0X) diberikan profil baru supaya lebih aerodinamik.
Sistem infotainmen hadir dengan skrin sentuh bersaiz 9 inci serta turut memaparkan ciri Panoramic View Monitor (PVM) yang kini menjadi ciri standard bagi Innova 2.0X dan Innova 2.0G.
Paparan PVM ini juga ditukar daripada jenis 2D kepada 3D untuk memberikan penglihatan yang lebih jelas kepada pemandu terhadap kenderaan dan persekitarannya, terutama ketika ingin melalui ruang sempit.
Sebagai respon kepada maklum balas pelanggan, lebih banyak slot pengecas kini ditambah. Di depan tersedia dua port USB yang kini diletakkan pada papan pemuka berbanding di konsol tengah sebelum ini, serta port USB tambahan yang disediakan untuk kerusi barisan kedua dan ketiga.
Sebagai tambahan, pelantar pengecas tanpa wayar turut ada di bahagian konsol tengah sebagai ciri tambahan yang boleh dipilih ketika membuat tempahan.
Dari segi ciri keselamatan pula, ciri Blind Spot Monitor (BSM) dengan Rear Cross Traffic Alert (RCTA) yang boleh membantu menghindari perlanggaran dengan kenderaan lain kini ditawarkan sebagai standard untuk Innova 2.0X dan 2.0G.
Selain itu, untuk meyakinkan lagi pelanggan dan meningkatkan lagi aspek keselamatan pada Innova, ciri Toyota Vehicle Telematics System (VTS) turut disediakan. Sistem ini boleh mengesan pergerakan kenderaan menggunakan teknologi GPS dan GSM.
Sekiranya kenderaan dicuri, VTS Command Centre boleh mengesan lokasi kenderaan dan memaklumkan pihak berkuasa untuk mendapatkannya semula dalam masa yang singkat.
Semua varian Innova menerima penarafan lima-bintang ASEAN NCAP dengan dilengkapi tujuh beg udara SRS dan semua penumpang di barisan ketiga mempunyai tali keledar 3 sudut dengan ciri auto retracting.
Ia juga dilengkapi ABS dengan Electronic Brakeforce Distribution (EBD) dan Brake Assist (BA) serta Vehicle Stability Control (VSC) dengan Traction Control (TRC), Emergency Stop Signal (ESS) dan Hill-start Assist Control (HAC).
Terdapat enam warna pilihan membabitkan Medium Silver Metallic, Attitude Black Mica, Phantom Brown, Silver Metallic, Super White II dan Bronze Mica Metallic (baru). Bagi Innova 2.0X, turut diberikan pilihan tambahan warna Crimson Spark Red Metallic.
Sama seperti kebanyakan model yang ditawarkan oleh UMWT, jaminan lima-tahun diberikan tanpa had perbatuan, tertakluk kepada terma dan syarat seperti yang dinyatakan dalam buku panduan pemilik.
Bermula hari ini, pelanggan boleh membuat tempahan untuk model berkenaan yang kini ditawarkan dalam tiga varian.
Perincian varian dan harga masing-masing adalah seperti berikut:
  • Toyota Innova 2.0X – Dari RM129,677
  • Toyota Innova 2.0G – Dari RM121,483
  • Toyota Innova 2.0 E – Dari RM111,622
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live