Selepas menarik lebih 80,000 pengunjung pada musim kedua Toyota Gazoo Racing (TGR) Festival lalu, kini UMW Toyota Motor Sdn Bhd mengumumkan penganjuran musim ketiga acara berkenaan yang bakal berlangsung pada September ini.

Perlumbaan musim ketiga itu mempunyai empat pusingan dengan lapan perlumbaan keseluruhannya yang membabitkan tiga litar jalanan yang direka khusus, termasuk satu lokasi di Litar Antarabangsa Sepang.

Lebih 40 pelumba yang akan bertanding dalam tiga kelas perlumbaan membabitkan Promotional untuk barisan selebriti, diikuti oleh kelas Sporting dan Super Sporting, masing-masing bagi pelumba-pelumba amatur serta profesional.



TGR kali ini tidak hanya tertumpu kepada litar semata-mata, kerana perlumbaan siri Gazoo Racing Velocity E-Sports turut diadakan ketika festival berlangsung. Ia pertama kali diperkenalkan September tahun lalu, pertandingan perlumbaan secara maya itu berjaya menarik sebanyak 400 penyertaan.

Beberapa penambahan baru bakal dibuat untuk TGR Festival musim baru ini termasuk pembabitkan Gazoo Racing Outlet yang akan mempamerkan model-model kenderaan yang diilhamkan daripada pembabitan Toyota dalam sukan permotoran dunia. Satu daripadanya adalah Gazoo Racing Supra.

Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata, Toyota meraih begitu banyak pencapaian di dalam sukan perlumbaan dunia dan pihaknya mahu membawa peminat serta pelanggan lebih dekat kepada jenama Toyota.



“TGR Festival bukanlah untuk sekadar menjual lebih banyak kenderaan, sebaliknya untuk meraikan kejayaan Toyota dan Gazoo Racing di dalam peta sukan perlumbaan dunia.

"Dari Rali Dakar dan Kejuaraan Rali Dunia hinggalah kepada kejayaan terbaru di dalam 24 Jam Le Mans, dan menterjemahkan pencapaian itu untuk dimanfaat serta dipersembahkan kepada khalayak umum," katanya.

Menurutnya, dengan model-model seperti Vios dan Yaris, termasuklah Supra yang akan dilancar tidak lama lagi, pihaknya percaya UMW Toyota Motor mempunyai gandingan produk yang betul untuk mengukuhkan kedudukannya dalam sukan permotoran di Malaysia.

Pencapaian Musim Kedua juga menyaksikan seorang pelumba berumur 14 tahun berjaya beralih dari perlumbaan go-kart kepada kereta lumba sedan.



Sementara itu, selebriti yang akan turut beraksi dalam kelas Promotional terdiri daripada barisan penyanyi, penyampai dan pelakon seperti Shukri Yahaya, Shawn Lee, Nabil Ahmad, Khai Bahar, Nabila Razali, Wani Hasrita, Janna Nick serta juara bertahan, Diana Danielle.

Musim ketiga itu bakal menyaksikan penyertaan dua muka baru, Ain Edruce dan Syafiq Kyle. Takeyama sendiri akan berlumba bagi musim ketiganya berturut-turut.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata, TGR Festival adalah medan untuk membuktikan keupayaan kenderaan Toyota, terutamanya Vios.

"Pengeluar kenderaan hari ini berkongsi matlamat untuk menghasilkan kereta yang praktikal, mampu milik, ekonomikal, tahan dan padat dengan teknologi termaju.



“Bagi Toyota, adalah penting untuk kenderaan yang dihasilkan menepati semua itu, serta turut teruji ketahanannya dalam keadaan yang mencabar, memberikan pemanduan yang memuaskan serta pengalaman pemilikan yang menyeronokkan," katanya.

Barisan penaja bagi Musim Ketiga TGR Festival termasuk Toyo Tires, pembekal teknologi automotif Denso, TRD Asia, jenama pelincir dari Jepun Moty's, Enkei, minuman tenaga M7 dan Toyota Capital Malaysia.