Jenama GPX masuk ke pasaran Malaysia tahun lalu menerusi model Demon 150 GR yang dijual pada harga RM9,800.

Terkini khabar dari Thailand jenama tersebut baru saja melancarkan sportbike Demon GR200R (2020).


Difahamkan model itu akan masuk pasaran Malaysia cuma belum diketahui masanya. Demon GR200R sekali pandang mirip model Yamaha YZF-R1 dengan pandangan tajam di depan.

Dijana oleh enjin 198cc silinder tunggal penyejukan cecair, GPX Demon GR200R memiliki tork maksimum 17.2Nm pada 6,500rpm. Namun, tiada angka kuasa didedahkan pada laman web rasmi GPX Thailand. Penghantaran kuasa ke roda belakang disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan.


Ditawarkan dalam tiga warna merah, hitam dan kelabu. Sportbike itu dilengkapi dengan skrin LCD TFT berwarna yang memaparkan maklumat digital LED penuh seperti perbatuan, takometer, indikator gear, suhu enjin, baki minyak dan lain-lain.

Keselesaan tunggangan diserahkan kepada fork terbalik (USD) di depan dan monoshock YSS boleh laras prabeban 7-tetapan di belakang. Kemudian bahagian kaki dilengkapkan dengan brek cakera hidraulik bersama kaliper 2-piston 276mm (depan) dan 220mm (belakang).


Ia menggunakan rim 17 inci yang dibalut tayar 100/80 (depan) dan 140/70 (belakang). Dimensi Demon GR200R (2020) memiliki jarak roda 1,340mm, panjang 2,020mm dan tinggi pelana 815mm dengan berat 150kg.

Ciri lain yang ditawarkan padanya adalah sistem pencahayaan LED pada semua lampu di samping padanan lampu nyala siang (DRL) di depan. Tidak ketinggalan turut tersedia ekzos sport dan pemijak kaki aluminium.


Pesaing kepada Pulsar RS200 dan KTM 200 Duke itu dijual pada harga 76,500 baht (RM10, 600).