Sebuah Honda S2000 yang menjalani pelbagai fasa modifikasi hingga menjadi jentera lumba Time Attack akan dilelong oleh syarikat BH Auction di Jepun pada musim panas ini.

Dikenali sebagai Top Fuel Honda S2000 Type-RR, jentera ini bukannya nama asing dalam sukan lumba Time Attack kerana ia ada mencipta rekod terpantas di beberapa litar lumba di Jepun dan dibawa ke Australia untuk cabaran World Time Attack Challenge 2012 dan 2013.

Top Fuel Honda S2000 Type-RR dikatakan memegang rekod di Suzuka, Litar Okayama dan Autopolis di Wilayah Oita, Jepun.

Sejak beberapa tahun lalu, jentera ini menggunakan alat pengecas turbo GCG Garrett GTX3582R pada enjin empat silinder 2.3 liter F20C untuk menjana hampir 1,000cc.

Kotak gear yang disambung pada enjin ialah jenis Holinger RD6S sequential yang menggerakkan roda belakang.

Klac digunakan pula cakera berkembar karbon. Sistem brek datangnya dari Endless, termasuk sistem suspensi boleh laras Endless serta gegelung jenama Eibach.

Keseluruhan badan jentera ini ditambah pelbagai komponen untuk membantu menjana downforce kuat pada masa sama lebih aerodinamik. Ini membabitkan splitter depan, arca roda besar, skirt sisi, peresap dan satu spoiler gergasi di belakang.

Setakat ini, tiada harga anggaran disiarkan pada portal BH Auction dan ia agak menarik untuk melihat jumlah bidaan yang bakal diterima kelak.