Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Toyota Bakal Bina Bandar Moden Dan Canggih Berhampiran Gunung Fuji

Erywan
07/01/2020 05:25 MYT
Menjelang tahun 2021, Toyota bakal membina bandar masa depan dan canggih berlatar belakang dengan permandangan Gunung Fuji, Jepun.

Bandar moden dan canggih itu dipanggil Woven dengan keluasan 175 ekar dan tenaga elektrik yang digunakan dikuasai oleh sel bahan api hidrogen.

Reka bentuk bandar itu dikendalikan oleh arkitek Denmark, Bjarke Ingels yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bjarke Ingels. Nama itu mungkin agak asing, tetapi firma itu sudah melakukan beberapa projek berprofil tinggi termasuk ibu pejabat Mountain View Google dan Pusat Dagangan Dunia 2 di New York.

Ingels memaklukan bahawa projek itu adalah ciri baharu bagi kehidupan masyarakat urban dengan berkonsepkan autonomi, bebas emisi dan berkongsi mobiliti.

Bandar itu bakal menjadi mesra alam kerana bangunannya dibina daripada kayu untuk meminimumkan karbon, selain dilengkapi dengan panel solar untuk menghasilkan tenaga elektrik.

Bandar itu juga akan dihuni pekerja dan keluarga pekerja Toyota dengan kira-kira 2,000 penghuni buat permulaan.

Toyota memaklumkan bahawa kediaman itu akan dilengkapi robot untuk membantu kehidupan harian mereka. Pada masa sama, ia turut dilengkapi sensor untuk mengawasi kesihatan penghuji di sana.

Presiden Toyota, Akio Toyoda berkata, membina bandar yang lengkap dari awal, walaupun pada skala kecil seperti itu, adalah satu peluang yang unik untuk membangunkan teknologi masa depan, termasuk sistem operasi digital untuk infrastruktur bandar.

“Penghuni, bangunan dan kenderaan semuanya bersambung serta berkomunikasi antara satu sama lain melalui data dan sensor, kami akan dapat menguji teknologi AI dalam kedua-dua alam maya dan fizikal,” katanya pada Consumer Electronics Show 2020.
;