Antarabangsa
Toyota C-HR GR Sport Penampilan Menarik Yang Mahukan Tampak Sporty
Toyota menjadikan model C-HR tahun 2021 bagi pasaran Eropah lebih menarik dengan memperkenalkan varian GR Sport baharu. Seperti yang anda mungkin tahu, GR Sport berada di kedudukan paling bawah dalam barisan Gazoo Racing, selepas GRMN dan GR.
Oleh yang demikian, model ini hanya mendapat penambahbaikan visual tanpa sebarang modifikasi pada enjin dan transmisi.
Penampilannya boleh dibezakan menerusi kemasan hitam pada lampu utama, lampu kabus dan jeriji, rekaan spoiler hadapan yang agresif serta rim berukuran 19 inci. Varian sporty ini ditawarkan dalam warna dua tona sahaja, dengan sembilan pilihan warna termasuk Dynamic Grey baharu.
Ruang kabinnya turut diperkemaskan dengan upholsteri Alcantara, balutan kulit pada stereng, jahitan kontras berwarna merah serta logo GR.
Dari segi kelengkapan, C-HR GR Sport didatangkan standard dengan ciri kemasukan pintar, pemanas tempat duduk hadapan, filem cermin privasi dan cermin sisi boleh lipat automatik. Pelanggan juga boleh mendapatkan sistem audio JBL dengan sembilan pembesar suara.
Walaupun prestasi enjinnya tidak disentuh, Toyota tidak lupa untuk memperbaiki aspek pengendalian menerusi penggunaan gegelung yang lebih tegar (10 peratus di hadapan dan 15 peratus di belakang) dan stereng yang lebih responsif. Bukan itu sahaja, penyerap hentaknya juga ditala untuk meningkatkan daya redaman.
Menurut Toyota, C-HR GR Sport akan dijual di pasaran Eropah bermula Januari tahun hadapan. Bagaimanapun, harga masih belum diumumkan.
Must-Watch Video