Selepas Toyota Innova, kini giliran Toyota Fortuner 2021 yang hadir dengan kemaskini terhadap penampilan, prestasi serta keselamatannya, dan dalam masa sama mengekalkan ciri-ciri yang menjadikannya SUV popular di negara ini.

Bagi versi 2021, ia ditawarkan dengan dua varian iaitu Toyota Fortuner 2.8 VRZ dan Toyota Fortuner 2.7 SRZ. Fortuner 2.8 VRZ 4x4 A/T ialah varian baru yang menggantikan Fortuner 2.4 VRZ dalam penawaran sebelumnya.


Model SUV Toyota itu hadir dengan penampilan wajah depan yang lebih dinamik, dengan Fortuner 2.8 VRZ menerima lampu utama Quad LED dengan gril bercorak mesh di tengah.

Unit lampu yang lain juga diberikan rekaan baru, serta rekaan bampar depan dan belakang yang juga menampilkan sentuhan baru. Bahagian skid plate di depan turut diperkemas, menyuntik imej lasak pada Fortuner.


Untuk membezakan lagi penampilan Fortuner 2.8 VRZ, bahagian bumbungnya, tiang A, perumah cermin sisi dan spoiler pada bumbung semuanya dijadikan warna hitam. Kedua-dua varian yang ada ini dilengkapi dengan rim aloi 18-inci yang diberikan rekaan baru.

Ruang kabin Fortuner 2.8 VRZ diberikan rekaan dan warna baru, termasuklah pada balutan tempat duduknya. Panel instrumen baru menampilkan Multi Information Display (MID) yang diperkemas animasi pemulanya.


Bagi keselesaan, Fortuner 2.8 VRZ dan 2.7 SRZ dipasangkan dengan lampu kabin jenis LED, cermin pandang belakang elektrokromatik (menghindari silau) dan tempat duduk pemandu serta penumpang depan kini boleh dilaras lapan-hala secara elektrik. Beberapa slot pengecas USB juga disediakan untuk kegunaan peranti moden penumpang.

Aturan tempat duduk yang boleh ubah membolehkan kapasiti penuh dimanfaatkan jika perlu. Ketiga-tiga baris yang ada mampu menempatkan penumpang dewasa dengan selesa. Bagi barisan kedua dan ketiga boleh dilipat untuk memberi kelebihan sebagai ruang barangan.


Fortuner juga didatangkan dengan Kawalan Aliran Bolehubah (VFC) pada stereng kuasanya, yang membantu menjimatkan minyak dengan cara pengurangkan beban tork pada pam stereng kuasa. Bagi Fortuner 2.8 VRZ, turut ada mod Sport yang memperkayakan lagi maklum balas stereng berkenaan.

Sistem pacuan 4x4 pula menyediakan kemampuan maksimum di semua permukaan jalan, baik lebuh raya mahupun laluan berlumpur. Dengan kemampuan shift on-the-fly, pemandu tidak perlu berhenti untuk kenderaan mengaktifkan pacuan 4x4, yang boleh ditukar pada tombol dengan mudah.


Untuk meningkatkan kestabilan, ia dilengkapi Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC). Baru untuk model tahun 2021 ini bagi kedua-dua varian adalah ciri Auto Limited Slip Differential (LSD). Ini membolehkan kuasa enjin dikekalkan dan kuasa dialihkan ke roda yang mempunyai cengkaman lebih baik.

Kini, selari dengan usaha Toyota untuk mengurangkan kemalangan jalan raya, model terbaru ini dilengkapi dengan Toyota Safety Sense (TSS).


Walaupun TSS ditawarkan pada kebanyakan model Toyota ketika ini, Fortuner tetap diberikan elemen berbeza; ia hadir dengan ciri-ciri seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dan Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC) dengan fungsi Yaw Assist.

Fungsi Yaw Assist akan diaktifkan ketika penukaran lorong dikesan, dan daya brek tambahan akan dikenakan kepada roda di sebelah dalam untuk membawa kenderaan kembali ke dalam posisi sepatutnya.


Ketika pembelian, pelanggan boleh juga memasukkan sekali pilihan ciri tambahan lain seperti pengecas tanpa wayar (baru), bukaan pintu belakang dengan gerak kaki (baru), peninjau pada bumbung serta perakam video digital belakang.

Sama seperti kebanyakan model yang ditawarkan oleh UMW Toyota Motor, Fortuner baru ini datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan.


Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati jadual penukaran minyak enjin yang lebih lama bagi enjin dieselnya dengan Revised Service Package. Jadual penukaran minyak enjinnya dilanjutkan kepada setiap 10,000 km atau enam-bulan (yang mana dahulu), berbanding keperluan sebelum ini iaitu setiap 5,000 km/tiga-bulan.

Dua varian ditawarkan dengan harga jualan seperti berikut: