UMW Toyota Motor Sdn Bhd mengumumkan kemaskini bagi model Toyota Fortuner yang akan mula beredar pada awal tahun 2021.

Dipasang di Malaysia, SUV pacuan empat roda (4X4) saiz penuh dari Toyota untuk pasaran Malaysia ini akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Toyota Fortuner 2.8 VRZ 4x4 A/T dan Toyota Fortuner 2.7 SRZ 4x4 A/T.

Fortuner 2.8 VRZ 4x4 A/T adalah varian baru yang menggantikan Fortuner 2.4 VRZ yang pernah ditawarkan sebelum ini.


Warna badan baru dengan Bronze Mica Metallic serta bumbung hitam akan ditawarkan secara eksklusif untuk varian flagship terbaru itu.

Bumbung hitam ini juga turut ditawarkan dengan warna badan Super White II, hanya untuk varian itu sahaja. Empat lagi warna luaran lain termasuk Medium Silver Metallic, Silver Metallic, Attitude Black Mica dan Phantom Brown Metallic.

Apa yang membezakannya, Fortuner 2.8 VRZ datang dengan lampu utama Quad LED serta rekaan perumah baru dengan gril mesh di tengah.


Lampu kabus, lampu isyarat dan lampu posisi juga turut diberikan gaya baru sementara rekaan bampar depan dan belakang tampil dengan rekaan baru yang lebih segar. Skid plate di bahagian depan juga baru, memberikan imej lebih ranggi kepada Fortuner 2021.

Membezakan lebih ketara varian 2.8 VRZ ialah bahagian bumbungnya, tiang A, cermin sisi dan spoiler pada bumbung semuanya diberikan penyudah warna hitam. Tambahan lain, reka bentuk pada sudutnya bertujuan untuk mendapatkan manfaat aerodinamik.

Bagi Fortuner 2.7 SRZ, lampu utama bi-LED turut menerima rekaan baru yang lebih tajam bersama dengan rekaan gril dan bampar depan yang baru. Lampu isyarat, lampu posisi dan lampu belakang gabungan turut menerima perubahan kosmetik bagi kedua-dua varian. Varian Fortuner 2.8 VRZ dan 2.7 SRZ turut menggunakan rim aloi 18-inci rekaan baru.


Ruang dalaman Fortuner mempunyai tiga barisan tempat duduk, dengan kemasan dan balutan hadir dengan rekaan dan warna baru. Panel instrumennya menampilkan animasi pembukaan Multi Info Display (MID) yang baru. Pencahayaan suasana turut disediakan untuk menyuntik kelas tersendiri, dengan penutup kunci diberikan rekaan baru.

Rekaan panel instrumen pada Fortuner 2.7 SRZ sudah diperbaharui, dan untuk lebih manfaat, MID memaparkan maklumat tambahan untuk pemandu. Varian itu turut menerima kemasan warna dalaman serta rekaan balutan kerusi baru untuk lebih segar.

Bagi mempertingkatkan keselesaan, Fortuner 2.8 VRZ dan 2.7 SRZ dipasangkan dengan lampu dalaman LED, cermin pandang belakang elektrokromik (untuk anti-silau) dan tempat duduk larasan elektrik untuk penumpang depan.


Selari dengan usaha Toyota untuk mengurangkan kemalangan jalan raya, varian 2.8 VRZ dilengkapi dengan pakej keselamatan Toyota Safety Sense (TSS). Ia adalah sistem keselamatan aktif bersepadu yang memanfaatkan kamera dan radar yang ada untuk meninjau dan mengesan kenderaan lain, dan untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang sepatutnya bagi menghindari kemalangan.

Walaupun TSS sudah ditawarkan pada kebanyakan model Toyota kini, ia tetap mempunyai elemen lain untuk Fortuner. Ia antaranya hadir dengan ciri Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA) dan Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) serta Yaw Assist Function.

Dari segi prestasinya, SUV berkenaan menggunakan enjin diesel 1GD- FTV 4- silinder common rail dengan ciri Variable Nozzle Turbcharger (VNT) dan Intercooler. Unit 2.8 liter mampu menghasilkan 204 PS pada 3,400 rpm dan 500 Nm tork dari 1,600 rpm hingga 2,800 rpm.


Fortuner 2.8 VRZ juga datang dengan stereng kuasa Variable Flow Control (VFC), yang membantu memperbaiki penjimatan minyak dengan cara mengurangkan penggunaan tork oleh pam stereng.

Ini dicapai dengan mengenakan mod standby (bantuan rendah) ketika kenderaan tidak dikendalikan sterengnya. Sama seperti sistem stereng yang lain, jumlah bantuannya bergantung kepada kelajuan. Ia lebih pada kelajuan rendah (misalnya ketika parkir) untuk meringankan stereng dan akan bertambah berat ketika kenderaan bergerak laju untuk memberikan rasa yang lebih meyakinkan.

Jurutera Toyota telah memperbaiki rasa stereng ini untuk mencapai tahap natural pemanduan yang serasi dalam setiap kelajuan. Bagi Fortuner 2.8 VRZ, turut ada mod SPORT yang akan memperkaya maklum balas sterengnya.


Pada masa sama, Fortuner 2.8 VRZ dan 2.7 SRZ dilengkapi Auto Limited Slip Differential (LSD). Sistem itu sangat berguna dalam kebanyakan keadaan sukar dan menggunakan sistem kawalan cengkaman untuk mengawal brek ketika satu daripada tayar belakang mula tergelincir kerana permulaan licin. Ini membolehkan kuasa enjin dikekalkan dan kuasa disalurkan ke roda yang mempunyai cengkaman yang lebih baik.

Fortuner didatangkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan ia dijual pada harga dan ​tempahan kini mula dibuka di semua cawangan pengedar sah UMW Toyota Motor seluruh negara.

Harga mengikut varian: