Seperti sebelum ini, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu bakal menjadi lokasi pembukaan bagi siri perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) Festival di Malaysia yang kini sudah memasuki musim ketiga.

Diadakan dalam litar jalanan yang dibina khas sepanjang 1.65 km di perkarangan stadium berkenaan di Gong Badak, acara itu akan berlangsung selama dua hari bermula 6 sehingga 7 September 2019 (Jumaat & Sabtu). Namun, paling penting masuk adalah percuma!

Pastinya acara itu bakal menampilkan aksi perlumbaan sengit antara selebriti, pelumba amatur serta profesional yang masing-masing berentap di dalam tiga kategori berbeza iaitu Promotional, Sporting dan Super Sporting sempena perlumbaan Vios Challenge.



Ini akan menjadi penganjuran kedua berturut-turut TGR di Kuala Terengganu, sebelum bertandang pula ke Lembah Klang dan Johor bagi tiga lagi pusingan.

Perlumbaan festival itu membabitkan empat pusingan dengan lapan perlumbaan yang disertai lebih 40 pemandu dimana mereka menggunakan satu jenis kenderaan sama iaitu Toyota Vios.

10 selebriti tempatan akan bersaing di dalam litar di Kuala Terengganu, dengan pelakon Diana Danielle akan mendahului sebagai juara bertahan.



Selebriti lain membabitkan Shukri Yahaya, Shawn Lee, Janna Nick, Nabil Ahmad, Khai Bahar, Nabila Razali dan Wany Hasrita. Musim ketiga ini turut menyaksikan dua pelumba selebriti baru yang akan ikut serta, iaitu Ain Edruce dan Syafiq Kyle. Akio Takeyama juga akan berlumba untuk musim ketiga berturut-turut.

Saingan dalam kalangan selebriti juga dijangka akan lebih sengit dengan kembalinya Shukri Yahaya dan Shawn Lee ke dalam kategori Promotional selepas berlumba di dalam kategori Sporting pada musim lalu.

Kategori Sporting bakal menyaksikan bakat menakjubkan, Haydan Haikal kembali untuk siri perlumbaan musim keduanya dan akan disertai oleh antaranya Kenneth Koh yang menduduki tempat ketiga musim lalu, serta Datuk Ken Foo yang meraih tempat kelima keseluruhan bagi musim kedua.



Sementara itu, kategori Super Sporting pula bakal menyaksikan persaingan antara dua bekas juara; di antara Boy Wong akan kembali sebagai juara bertahan musim kedua, serta Tengku Djan Ley yang merupakan juara musim pertama.

Akan ikut serta ialah William Ho yang menduduki tempat kedua bagi kedua-dua musim sebelum ini, serta Brendan Paul Anthony yang menduduki tempat ketiga keseluruhan musim lalu dan tidak ketinggalan, Kenny Lee.

Bagi peminat sukan permotoran di Kuala Terengganu, terdapat banyak lagi aktiviti yang akan memeriahkan suasana sepanjang acara ini berlangsung.



Antaranya ialah pameran dan sesi pandu uji kenderaan baru Toyota, persembahan drift oleh pemandu Jepun yang dibawakan oleh Toyo Tires, cabaran perlumbaan simulator, permainan pentas dan persembahan oleh selebriti, aktiviti promosi, cabutan bertuah, jualan cenderahati serta sesi tandatangan peminat untuk memberi peluang kepada pengunjung mendekati barisan pelumba selebiriti.