Toyota Gazoo Racing Festival buka tirai musim ketiga di Kuala Terengganu – ‘Mari pakat gi deh’
Seperti sebelum ini, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu bakal menjadi lokasi pembukaan bagi siri perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) Festival di Malaysia yang kini sudah memasuki musim ketiga.
Diadakan dalam litar jalanan yang dibina khas sepanjang 1.65 km di perkarangan stadium berkenaan di Gong Badak, acara itu akan berlangsung selama dua hari bermula 6 sehingga 7 September 2019 (Jumaat & Sabtu). Namun, paling penting masuk adalah percuma!
Perlumbaan festival itu membabitkan empat pusingan dengan lapan perlumbaan yang disertai lebih 40 pemandu dimana mereka menggunakan satu jenis kenderaan sama iaitu Toyota Vios.
10 selebriti tempatan akan bersaing di dalam litar di Kuala Terengganu, dengan pelakon Diana Danielle akan mendahului sebagai juara bertahan.
Saingan dalam kalangan selebriti juga dijangka akan lebih sengit dengan kembalinya Shukri Yahaya dan Shawn Lee ke dalam kategori Promotional selepas berlumba di dalam kategori Sporting pada musim lalu.
Kategori Sporting bakal menyaksikan bakat menakjubkan, Haydan Haikal kembali untuk siri perlumbaan musim keduanya dan akan disertai oleh antaranya Kenneth Koh yang menduduki tempat ketiga musim lalu, serta Datuk Ken Foo yang meraih tempat kelima keseluruhan bagi musim kedua.
Akan ikut serta ialah William Ho yang menduduki tempat kedua bagi kedua-dua musim sebelum ini, serta Brendan Paul Anthony yang menduduki tempat ketiga keseluruhan musim lalu dan tidak ketinggalan, Kenny Lee.
Bagi peminat sukan permotoran di Kuala Terengganu, terdapat banyak lagi aktiviti yang akan memeriahkan suasana sepanjang acara ini berlangsung.