Varian ‘entry level’ Toyota GR Supra yang dikuasakan oleh enjin 2.0-liter telah dilancarkan di United Kingdom, hampir setahun selepas pelancarannya untuk pasaran Eropah. Toyota UK pada awalnya dilaporkan tidak yakin untuk membawa masuk model yang berkuasa lebih rendah ini kerana dikhuatiri tidak akan ada permintaan untuknya.


Namun nampaknya syarikat itu kini bersedia untuk menawarkan model itu dengan spesifikasi yang tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan versi 3.0 liter. Selain diameter muncung ekzos dan rim yang lebih kecil iaitu 18 inci, kelengkapan standard yang ditawarkan oleh kedua-dua model tersebut boleh dikatakan sama sahaja.


Di bawah hud, enjin B48 2.0 liter empat silinder turbo yang dihasilkan oleh BMW itu menjana 254hp dari 5,000 hingga 6,000rpm dan 400Nm yang terhasil seawal 1,550 hingga 4,000rpm, mewakili perbezaan sebanyak 81hp dan 100Nm berbanding versi 3.0 liter.


Pilihan transmisi kekal sama iaitu kotak gear automatik klac berkembar lapan kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda belakang menerusi LSD aktif. Sistem brek juga tidak berubah iaitu cakera bersaiz 348mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan dan 345mm dengan angkup piston tunggal di belakang.


Dari segi prestasi, GR Supra 2.0 boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 5.2 saat, hanya 1.1 saat di belakang GR Supra 3.0. Kelajuan maksimum yang dihadkan secara elektronik bagi kedua-dua versi adalah sama iaitu 250km/j.


Walaupun lebih perlahan, kekurangan itu diatasi dengan badan yang lebih ringan sebanyak 100kg. Menurut Toyota, pengurangan berat itu menjadi penyumbang utama kepada keseimbangan 50:50 pada bahagian hadapan dan belakang. Digabungkan dengan stereng kuasa elektrik dan sistem suspensi adaptif yang disertakan secara standard, jentera ini menjanjikan pengendalian yang tidak kurang hebatnya.


Ciri-ciri lain yang turut disertakan adalah ABS, Brake Assist, Vehicle Stability Control, Traction Control, Hill-start Assist Control dan Active Cornering Assist. Mod pemanduan terdiri daripada dua iaitu Normal dan Sport.


Harga GR Supra 2.0 adalah £45,995 (RM253,608) manakala GR Supra 2.0 Fuji Speedway pula berharga £47,395 (RM261,327). Terhad kepada 45 unit sahaja, edisi ini didatangkan dengan rim 19 inci, upholsteri kulit/Alcantara berwarna merah dan hitam serta kemasan gentian karbon.