Antarabangsa
Toyota GR Supra 2021 - 13 Peratus Tambah Kuasa Dan Pengendalian Lebih Baik
Umur Toyota GR Supra belum mencecah setahun, namun kereta sport idaman ramai itu sudah pun diberi penambahbaikan membabitkan kuasa dan casis bagi menjadikan ia lebih seronok dipandu.
Untuk model tahun 2021 pasaran Amerika Syarikat, enjin B58 3.0 liter enam silinder sebaris yang digunakan pada varian tertinggi Supra ditala untuk menghasilkan 382hp dari 5,800 hingga 6,500rpm, 47hp atau 14 peratus lebih tinggi berbanding sebelum ini.
Bukan itu sahaja, jumlah tork turut meningkat dari 494Nm kepada 499Nm dari 1,800 hingga 5,000rpm. Menurut Toyota, peningkatan ini dicapai menerusi penggunaan manifold ekzos dan rekaan omboh baharu yang mengurangkan nisbah mampatan dari 11:1 kepada 10.2:1.
Hasilnya, masa pecutan 0-96km/j dapat dikurangkan dari 4.1 saat kepada 3.9 saat. Bagaimanapun, transmisi automatik lapan kelajuan daripada ZF dikekalkan dan masih tiada penawaran transmisi manual untuk model ini.
Bagi meminimumkan olengan serta meningkatkan kestabilan ketika mengambil selekoh, Toyota menambah pendakap aluminium pada bahagian hadapan, berserta ‘bump stop’ pada kedua-dua gandar dan talaan peredam baharu.
Bukan itu sahaja, ciri stereng kuasa elektrik (EPS), Adaptive Variable Suspension (AVS) dan Vehicle Stability Control (VSC) turut diprogram semula bagi menjadikan jentera ini lebih stabil dan responsif.
Must-Watch Video