Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Toyota GR Yaris Akhirnya Lancar Di Malaysia - Hanya 200 Unit, Harga RM299,000

Erywan
17/12/2020 12:00 MYT
Daripada 25,000 Toyota GR Yaris seluruh dunia, hanya 200 unit yang dibawa masuk ke pasaran Malaysia menerusi UMW Toyota Motor Sdn Bhd. Toyota GR Yaris hanya ditawarkan dengan varian Performance Pack Edition yang dijual pada harga RM299,000 tidak termasuk cukai jalan dan insurans komprehensif.

Nampaknya, rakyat Malaysia sangat beruntung kerana kenderaan itu lebih murah berbanding di Thailand. Di sana, jentera itu dijual pada harga bermula RM364,000.


Unit terhad itu didatangkan dengan plat nombor istimewa eksklusif yang mana ditawarkan tiga warna istimewa membabitkan Platinum White Pearl, Emotional Red 2 dan Precious Black.

UMW Toyota Motor Sdn Bhd turut menawarkan Pakej Pembeli Terawal yang akan menyaksikan pembeli GR Yaris menerima beg topi keledar eksklusif, model skala GR Yaris dan mengikuti aktiviti Pengalaman Memandu GR Yaris 2021, dengan keseluruhan pakej berkenaan bernilai RM5,000.


Kenapa GR Yaris Mahal?

Ia adalah sebuah kereta World Rally Championship (WRC) yang dibina untuk jalan raya dan satu-satunya kereta WRC sah yang boleh dibeli untuk tujuan bukan perlumbaan.

GR Yaris dibina dengan harapan yang besar untuk mewarisi sejarah WRC Toyota sejak tahun 1973 yang memenangi empat anugerah pengeluar dalam perlumbaan WRC dan tiga anugerah kejuaraan untuk pemandunya.


Toyota mencipta GR Yaris sepenuhnya sebagai kereta rali yang dibuat dengan tujuan untuk bersaing di Kejuaraan Rali Dunia (WRC) sebelum memperbaiki dan menyesuaikannya menjadi hot hatch jalan raya berprestasi tinggi.

GR Yaris adalah model homologasi pertama Toyota untuk WRC sejak Celica GT-FOUR yang kali terakhir dihasilkan pada tahun 1999. Dibangun menggunakan platform unik yang menggabungkan platform GA-B terkini (daripada generasi terbaru Yaris hatchback) dan bahagian belakang yang diadaptasi daripada platform GA- C (digunakan untuk Corolla dan C- HR).

GR Yaris ialah model pertama yang dibina di kilang bikinan khas GR di Motomachi, Jepun, ia adalah fasiliti sama turut bertanggungjawab mengeluarkan supercar Lexus LFA.


Siapa Yang Bertanggungjawab Merekanya?


Direka dengan kerjasama pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team dan Tommi Makinen Racing, di bawah kepimpinan ketua pasukan dan legenda WRC Tommi Makinen sendiri, GR Yaris mendapat kelebihan daya saing dari segi pembinaan kenderaan, teknologi dan kepakaran sejak peringkat awal penciptaannya.

Pereka dan jurutera WRC dapat menumpukan perhatian untuk menyempurnakan aerodinamik, pengagihan berat dan pembinaan kereta yang ringan menjadikan tiga kualiti utama untuk mencapai prestasi dan pengendalian.


Bentuk Depan GR Yaris Garang

Bukaan besar di hadapan mengikut bentuk radiator dan direka untuk prestasi penyejukan maksima sementara bukaan udara menegak di kedua sisi bumpar hadapan berfungsi untuk menyejukkan brek. Permukaan dengan tekstrur di bampar hadapan berfungsi untuk menyerlahkan kedudukannya agar tampil lebih lebar dan rendah.

Mendekati bahagian belakang, GR Yaris mendapat sentuhan bumbung yang menirus dengan tiang belakang yang disempurnakan dengan spoiler GR yang tinggi bertujuan untuk meningkatkan down force keseluruhan.

GR Yaris dilengkapi dengan rim aloi 18 inci dengan tayar Michelin Pilot 4S bersaiz 225/40R18 iaitu eksklusif untuk Performance Pack Edition. Lencana khas GR juga menghiasi bumpar depan, fender depan dan pintu belakang.


Ruang Dalaman Ringkas, Elegan Dan Direka Untuk Pemanduan Berprestasi Tinggi

Ia dipadankan tempat duduk yang ringan, tetapi teguh dengan balutan kulit hitam dan jahitan merah untuk tempat duduk sport serta tempat duduk belakang serba hitam.

Ia mempunyai stereng multifungsi balutan kulit tiga jejari GR khas, sementara bahagian dalaman keseluruhannya berwarna hitam dengan perincian trim rona perak di pemegang pintu dalam, lubang udara sisi dan konsol tengah.


Ketelitian GR Yaris terhadap perincian sangat mengkagumkan. Pedal sport aluminium yang digerudi yang direka dengan permukaan yang lebih luas membuatkan menukar pedal menjadi lebih mudah dan membantu pertukaran tumit dan kaki antara brek dan pemanduan laju.

Paparan maklumat dalam GR Yaris terdiri daripada meter analog yang menampilkan angka putih dengan penunjuk merah untuk pemanduan sport dengan jarak pandang tinggi, dan paparan multi-maklumat berwarna TFT 4.2-inci (MID) dengan penunjuk pacuan semua roda yang memaparkan taburan tork dan mod pemanduan yang dipilih untuk sistem GR- FOUR, penunjuk kedudukan gear, serta monitor tekanan turbo. GR Yaris juga mempunyai head-up display (HUD).

Sistem Infortaimen

Biarpun ia sebuah kereta berprestasi tinggi, aspek hiburan masih disediakan dalam bentuk skrin sentuh 7-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, radio FM, USB, Bluetooth dan sistem audio enam-pembesar suara. Turut terdapat ciri kawalan pendingin udara automatik dwi-zon, cermin pandang belakang electrochromic, stereng elektrik berkuasa (EPS), sistem smart entry pintar, butang kuasa dengan lencana GR, dan tingkap berkuasa dengan fungsi automatik buka/tutup dengan Jam Protection.

Sementara itu, sistem penambahbaikan bunyi enjin menghantar bunyi yang menyeronokkan ke dalam kabin bersesuaian dengan pemecutan dan tork yang dikerah.


Enjin 3 Silinder Terkuat Di Dunia

Dikuasakan enjin tiga-silinder 1,618 cc sebaris, DOHC dan intercooler turbocas, GR Yaris mampu menghasilkan kuasa maksima 261PS pada 6,500 rpm dan tork 360 Nm antara 3,000 sehingga 4,600rpm.

Enjin 1.6 liter itu mematuhi peraturan WRC 2 dan ia boleh menggelarnya sebagai enjin tiga silinder terkuat di dunia. Unit turbo 1.6 liter yang paling ringan dan terkecil yang kini dalam pengeluaran.

Transmisinya pula, ia menggunakan kotak gear manual enam-kelajuan dengan fungsi i-MT (Intelligent Manual Transmission) yang mengesan operasi penukaran gear oleh pemandu dan memadankan dengan kelajuan enjin untuk memberikan rasa yang lancar dan selesa ketika peralihan gear.

Tombol gear diletakkan tinggi di konsol tengah dan lebih dekat dengan roda stering untuk membolehkan pemandu menukar gear dengan lebih pantas, sementara pergerakan penukaran gear juga dipendekkan dan diringankan untuk rasa kawalan yang lebih tinggi.


Pacuan Empat Roda Sepenuh Masa (GR-Four)

Dengan menggunakan sistem pacuan empat roda sepenuh masa (GR-Four), GR Yaris menawarkan mod pemanduan Normal, Sport dan Track. Ini adalah yang pertama dibangunkan sejak sistem pacuan empat roda yang ada untuk Toyota GT-4 sekitar 20 tahun lalu.

Sistem GR-Four mengagihkan kuasa antara gandar depan dan belakang melalui gandingan tindak balas tinggi dan klac jenis multi-plat yang dikawal secara elektronik yang menguruskan pemisahan kuasa antara roda depan dan belakang.

Dalam mod Normal tork ialah dalam nisbah 60:40 antara depan dan belakang, dalam mod Sport agihan tork adalah 30:70 sementara dalam mod Track, agihan tork adalah 50:50 yang seimbang. Performance Pack Edition juga menyaksikan GR Yaris dilengkapi dengan limited slip differential (LSD) Torsen.


Badan Ringan

Memiliki berat 1,280kg dan untuk layak menjadi pesaing featherweight dalam WRC, GR Yaris menggunakan beberapa material untuk pembinaan badan luarannya bagi mencapai nisbah kuasa- kepada-berat dan keteguhan kerangka yang ideal.

Ini termasuk bahagian bumbung yang diperbuat daripada material karbon baru yang ditempa (dan bukan dijalin) serta C-SMC (carbon sheet moulding compound); bonet, pintu depan dan but belakang aluminium; reka bentuk tiga pintunya yang mengurangkan 24 kg; kepingan keluli nipis di bahagian sayap dan sisi, dengan keluli tegangan tinggi di bahagian kritikal untuk memastikan keteguhan struktur dan kebolehan untuk menyerap dan menghilangkan kuasa impak.


Suspensi Rali Dan Brek

Suspensi rali yang ditala oleh pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally mempunyai geometri dan tetapan yang ditentukan untuk memaksimumkan cengkaman tayar. Bar anti-roll depan Performance Edition Pack lebih tebal dan diameter spring pada suspensi depan ditambah untuk meningkatkan kestabilan dan kelincahan.

Kuasa pemberhentian datang daripada cakera brek dua bahagian berliang dengan saiz 356 mm dengan angkup GR aluminium merah empat piston di bahagian depan, manakala cakera berliang dalam saiz 297 mm dengan angkup GR merah aluminium dua omboh di bahagian belakang. GR Yaris juga dilengkapi dengan brek parkir yang dikendalikan dengan tangan secara mekanikal untuk membolehkan belokan maksima seperti dalam perlumbaan rali.


Ciri Keselamatan, Ada Toyota Safety Sense

Berpandukan tahap keselamatan yang tinggi untuk sebuah kereta WRC, GR Yaris diperkasakan dengan sistem keselamatan Vehicle Stability Control (VSC) dan Traction Control (TRC). VSC juga dilengkapi mod Pakar yang membolehkan pemandu menyahaktifkannya bersama TRC sekali. Ciri standard lain termasuk Anti-Lock Braking System (ABS); Brake Assist (BA); dan Eletronic Brake Force Distribution (EBD).

Ciri keselamatan dipertingkatkan lagi dengan Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi Pre- Crash System (PCS); Dynamic Radar Cruise Control (DRCC); Lane Departure Alert (LDA); Lane Tracing Assist (LTA); dan Auto High Beam (AHB).

Dilengkapi dengan perlindungan enam beg SRS, ciri keselamatan yang lain termasuk Hill-Start Assist Control (HAC); peringatan tali pinggang depan & belakang; cermin sisi kawalan automatik dengan lampu signal; pengelap cermin automatik dengan pengesan hujan; perakam video kereta; sensor parkir belakang; sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS); tali pinggang keselamatan tiga- poin dengan Emergency Locking Retractor (ELR) bersama dua pre-tensioners dan force limiters; Isofix tersedia; alat imobilisasi, siren dan sensor pencerobohan; serta filem penapis haba premium Toyota. Vehicle Telematics System juga ada sebagai aksesori pilihan.


Jaminan 5 Tahun


GR Yaris mempunyai jaminan selama lima-tahun daripada tarikh pertama pendaftaran, tanpa had perbatuan (tertakluk terma dan syarat). Untuk maklumat lanjut mengenai GR Yaris sila lawati laman web www.toyota.com.my.

#Toyota
;