Antarabangsa
Toyota Lancar SUV Baharu Yaris Cross Dengan Enjin Hibrid 1.5 Liter
Toyota secara rasminya memperkenalkan Yaris Cross, sebuah crossover segmen-B yang dibangunkan untuk pasaran Eropah. Model ini sepatutnya membuat kemunculan di Geneva Motor Show pada Mac lalu namun seperti yang anda tahu, pameran berkenaan sudah dibatalkan akibat pandemik koronavirus.
Seperti Yaris hatchback, Yaris Cross dibina menggunakan platform TNGA (GA-B). Ia mempunyai ukuran jarak roda yang sama dengan hatchback tersebut iaitu 2,560mm, namun badannya 240mm lebih panjang, 20mm lebih lebar dan 90mm lebih tinggi. Ia akan bersaing dengan model Honda HR-V.
Walaupun berkongsi platform, model ini dilihat mempunyai identiti reka bentuk yang tersendiri terutamanya jika dilihat dari sudut hadapan. Di belakang, unit lampu LED yang panjang seolah-oleh dipinjam daripada Harrier generasi keempat. Ia juga mempunyai kemasan hitam di sekeliling badan dan boleh didapati dengan rim berukuran 18 inci.
Sementara itu, ruang dalamannya pula mirip dengan model hatchback tersebut. Apa yang menjadikannya berbeza adalah ciri praktikaliti seperti tempat duduk belakang yang boleh dilipat secara 40:20:40 dan lantai but boleh laras.
Yaris Cross dikuasakan oleh sistem hibrid Toyota yang menggunakan enjin 1.5-liter dengan kuasa maksimum 116hp. Ia boleh didapati dengan sistem pacuan semua roda AWD-i yang ditugaskan untuk memberikan lebih cengkaman terutamanya ketika memandu di atas permukaan yang licin.
Dari segi keselamatan, model ini mendapat sistem keselamatan aktif Toyota Safety Sense serta pelbagai ciri bantuan pemandu canggih yang dikatakan dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan menerusi amaran awal dan kawalan brek dan stereng. Yaris Cross akan dipasang di Perancis bermula tahun hadapan.