Toyota memperkembangkan penawaran GR Supra dengan sebuah model edisi terhad baharu yang dikenali sebagai RZ Horizon Blue. Bagaimanapun, ia hanya akan ditawarkan untuk pasaran Jepun buat masa ini.



Seperti yang tertera pada namanya, model tersebut didatangkan dalam warna biru Horizon Blue. Sebelum ini warna terbabit diperkenalkan untuk GR Supra dalam permainan video Gran Turismo Sport.



Selain itu, GR Supra Horizan Blue turut didatangkan dengan rim aluminium berukuran 19 inci berwarna hitam matte. Kemasan itu sepadan dengan tiang A, cermin sisi, apron hadapan dan belakang serta skirt sisi jentera itu.



Ruang kabin turut diberi penampilan lebih segar menerusi upholsteri kulit dan Alcantara hitam, serta jahitan kontras berwarna biru pada tempat duduk, konsol tengah dan stereng. Turut disertakan adalah skrin infotainmen lebih besar yang berukuran 8.8 inci.



Diperkenalkan sebagai sebahagian daripada barisan ‘facelift’ di Jepun, model ini hadir dengan enjin twin-turbo 3.0-liter enam silinder sebaris yang dipertingkatkan bagi menghasilkan 382hp dan 500Nm, iaitu 47hp atau 14 peratus lebih tinggi berbanding sebelum ini.



Hasilnya, pecutan 0-100km/j dilengkapkan dalam masa yang lebih singkat iaitu dari 4.1 kepada 3.9 saat. Bukan itu sahaja, Toyota turut menjanjikan pengendalian yang lebih baik menerusi sistem suspensi yang ditala semula dan pendakap pada bahagian hadapan. Pengeluaran GR Supra RZ Horizon Blue diterhadkan kepada 100 unit sahaja dan tempahan sudah pun dibuka.