Pandu Uji
Toyota Rush - Boleh Tahan Bagus Bawa Balik Kampung!
Dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan tujuh tempat duduk serta harga bawah RM100,000, hanya dua model sahaja yang anda boleh miliki iaitu Toyota Rush atau Perodua Aruz.
Jika lihat latar belakangnya, kedua-duanya adalah menggunakan platform yang sama sahaja cuma ia berbeza jenama iaitu Toyota dan Perodua. Kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing, dan pandu uji kali ini penulis menguji SUV keluaran Toyota iaitu Rush.
Kenderaan pandu uji ini, sebenarnya model yang sudah pun dipandu melebihi 20,000km jika dilihat pada odometernya. Penulis sengaja untuk menguji kenderaan yang sudah banyak jarak kilometernya. Ia semata-mata untuk menguji sama ada jentera ini mempunyai bunyi yang tidak diingini, kekurangan kuasa atau mempunyai masalah lain.
Malah, perjalanan untuk menguji jentera ini juga mencatatkan hampir 1,000 kilometer dengan perjalanan dari Kuala Lumpur - Kota Bharu - Kuala Terengganu - Kuala Lumpur.
Dari Segi Kuasa Dan Penggunaan Bahan Api
Perjalanan dari Kuala Lumpur - Kota Bharu, penulis memandunya melalui laluan biasa dengan merentasi bandar Gua Musang.
Laluan ini sebenarnya sudah cukup untuk menguji keupayaaan Rush sepenuhnya. Bagi pemanduan mendaki, Rush boleh dikatakan agak berat, namun ia masih lagi mampu mengalas tugas itu dengan pertukaran gear rendah yang membuatkan rpm lebih tinggi hingga mencecah 3,000 sehingga 4,500rpm untuk memberi kadar pecutan yang lebih baik.
Di laluan lurus pula, Rush ini sebenarnya agak laju dan boleh memecut melebihi 150km/j. Bagaimanapun, penulis rasanya kelajuan tinggi sangat tidak disarankan kerana ia akan menyebabkan penggunaan bahan api yang banyak.
Ini kerana SUV ini menggunakan enjin 1.5 liter dengan transmisi empat kelajuan, jadi kelajuan 100km/j pun meter rpm sudah pun melebihi 2,500rpm jadi ia tidak sebuah kenderaan yang menjimatkan sekiranya dipandu pada kelajuan tinggi.
Tahap penggunaan bahan api dari Kuala Lumpur - Gua Musang - Kota Bharu, kenderaan ini masih lagi berbaki satu suku tangki minyak. Bagi penulis, tahap penggunaan bahan api hampir sama dengan kenderaan sedan segmen B. Jadi ia boleh dikatakan agak menjimatkan!
Bagi perjalanan pulang pula, Kota Bharu - Kuala Terengganu - Kuala Lumpur dengan melalui lebuh raya. Kenderaan ini menggunakan bahan api satu tangki lebih kerana penulis terpaksa mengisi minyak kira-kira 10 liter lagi di Gambang, Pahang untuk tiba di Kuala Lumpur. Petrol itu ditambah disebabkan penulis memandu sedikit laju dengan kelajuan 120 sehingga 130 km/j.
Sepanjang perjalanan itu juga. apa yang penulis katakan segala masalah bunyi, kekurangan kuasa atau masalah lain tidak langsung berlaku dalam pandu uji terbabit. Ternyata kenderaan yang sudah pun didaftarkan hampir dua tahun ini, masih lagi elok sepenuhnya. Jadi ia sebuah kenderaan yang berkualiti.
Apa yang membezakan Toyota Rush ini?
Bagi luaran, penampilan diserlahkan menerusi reka bentuk garis badan tajam dengan warna dua tona yang memberikan kesan visual berbeza. Pemasangan aerokit dinamakan R-Blade yang memberi ia kelihatan sedikit agresif.
Dalaman pula, papan pemukanya mempunyai dua kombinasi warna dan tampak sedikit premium dengan padanan aksen krom bersama roda stereng dan tombol gear kulit.
Dari segi teknologi, Rush mempunyai pakej 360-T, terdiri daripada sistem keselamatan terkini seperti Safe-T Plus, Connectivi-T dan Guaran-T.
Safe-T Plus ialah teknologi keselamatan pemanduan moden yang terdiri daripada Pemantauan Titik Buta (BSM) dan Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA), 6 beg udara, Sistem Pra-Perlanggaran, Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC), Pemantauan Pandangan Panoramik (PVM).
Connectivi-T pula kemudahan sistem infotainment terkini membabitkan DVD-AVX dan USB Mirroring dengan skrin sentuh 6.8 inci, Palam pengecas USB dan Sambungan Bluetooth.
Guaran-T adalah pakej waranti 5 tahun, dan tanpa had perbatuan bagi setiap pembelian Rush, tertakluk terma dan syarat.
Apa yang boleh disimpulkan, Rush masih lagi mendahului dari segi teknologinya seperti Pemantauan Pandangan Panoramik (PVM), Pemantauan Titik Buta (BSM) dan turut disediakan aerokit luaran untuk membuatkannya lebih tampil agresif. Lagi satu, anda perlu tahu SUV ini adalah kenderaan bagi mereka untuk membawa penumpang yang ramai dan bukannya sebuah jentera berprestasi.
Dari segi harganya, Rush varian S ini (spesifikasi tertinggi) dijual bermula RM91,885.
Must-Watch Video