Antarabangsa

Toyota Vios Dipertingkatkan Ciri Keselamatan Dan Gaya Baharu

gempak
Erywan
17/11/2020
03:18 MYT
Sponsor Banner
Toyota Vios Dipertingkatkan Ciri Keselamatan Dan Gaya Baharu
Aspek keselamatan dan penggayaan adalah dua perkara penting yang diberi perhatian pada Toyota Vios dipertingkatkan, menjadikannya lebih atletik dan dinamik dengan penampilan atas jalan lebih menonjol.
Kini dilengkapi sentuhan wajah depan dengan bampar baru, Vios terbaru ini tampil dengan gril lebih segar, kit aero yang datang sekali dengan lip depan serta lampu utama LED dengan triple bezel baru dengan lampu nyalaan siang.
Lampu utama baru ini juga turut disambungkan dengan fungsi follow-me-home yang kini ditawarkan pada semua varian J, E dan G sebagai kelebihan kepada pengguna.
Pertama kali dilancarkan pada Januari 2019, generasi semasa Vios dengan enjin 1.5 liter menjadi pilihan paling popular bagi sedan peringkat kemasukan, dengan penawaran aspek keselamatan, ketahanan, praktikaliti dan nilai terbaik yang ada padanya.
Vios adalah model pertama dalam segmennya yang dianugerahkan penarafan lima-bintang bagi ujian ASEAN NCAP dan kini turut dilengkapi dengan Toyota Safety Sense (TSS) yang terdiri daripada ciri amaran pra-perlanggaran (PCS) serta amaran penukaran lorong (LDA).
PCS diaktifkan bermula dari kelajuan 15 km/j untuk mengurangkan risiko perlanggaran dengan kereta hadapan, dan akan memaklumkan pemandu sekiranya sistem mengesan ada kenderaan dalam jarak perlanggaran serta membantu mengurangkan kelajuan sebagai sokongan tambahan kepada pemandu.
Ciri LDA pula diaktifkan dari kelajuan 50 km/j dan ke atas, dan akan memaklumkan pemandu sekiranya berlaku pertukaran lorong yang tidak diingini dengan memberikan amaran visual pada paparan Multi-Info Display serta melalui bunyi "beep". Sistem ini bagaimanapun boleh dinyahaktif oleh pemandu.
Semua ini adalah tambahan kepada ciri-ciri keselamatan sedia ada pada model berkenaan, termasuk kawalan kestabilan kenderaan (VSC), kawalan cengkaman (TRC), kawalan bantuan mula mendaki (HAC), peninjau titik buta dengan amaran lintasan trafik di belakang (RCTA).
Ia juga didatangkan sistem brek anti-kunci (ABS), agihan daya brek elektronik (EBD), bantuan brek (BA) dan perakam video digital di depan dan belakang (DVR). Vios juga satu-satunya kereta dalam segmennya yang dilengkapi dengan tujuh beg udara SRS (masing-masing dua di depan, sisi, tirai dan satu pelindung lutut pemandu).
Vios dipertingkatkan ini juga dipasangkan ciri peninjau pandangan panoramik 360-darjah 3D, membolehkan pemandu memerhatikan keadaan sekeliling kereta dengan lebih mudah dan berkesan.
Untuk memastikan pelanggan menikmati ciri tunjuk arah, sambungan dan infotainmen yang terbaik, Vios dipertingkatkan ini turut dilengkapi dengan skrin tujuh-inci dengan sokongan Android Auto & Apple CarPlay (AACP).
Sistem telematik kenderaan juga ditawarkan sebagai standard bagi Vios (varian G & E), selari dengan arah tuju syarikat untuk mempertingkatkan Connectivity di bawah pengalaman jenama 360-T Plus.
Ditawarkan dengan dua pilihan warna baru, Orange Metallic dan Platinum White Pearl, pelanggan juga boleh memilih daripada warna-warna sedia ada seperti Dark Blue Metallic, Red Mica Metallic dan Silver Metallic.
Mula dibuka untuk tempahan bermula semalam secara dalam talian dan di semua bilik pameran sah Toyota seluruh negara, Vios terbaru ini juga datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan.
Harga akan diumumkan tidak lama lagi dan pelanggan boleh menikmati pengecualian cukai jualan bagi kereta pemasangan tempatan yang masih berlangsung ketika ini. Pelanggan juga boleh membuat tempahan secara dalam talian melalui laman web rasmi UMW Toyota bermula 16 November 2020.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live