Angka-Tan Motor Sdn Bhd (ATM) bakal mengembangkan portfolio kenderaannya selepas dilantik oleh Jiangling Motors Co Ltd (JMC) sebagai pengedar rasmi trak pikap JMC Vigus Pro 4x4 di Malaysia.

Kerjasama di antara ATM dan JMC dimeterai selepas kedua-dua belah pihak menandatangani perjanjian Perlesenan Teknologi Kenderaan pada 1 Julai lalu.

JMC memberi hak penuh kepada ATM untuk mengilang, memasang dan menjual trak pikap JMC Vigus Pro 4x4, serta alat ganti dan komponen berkaitan di Malaysia.


ATM juga merancang untuk menawarkan JMC Vigus Pro menerusi 13 cawangan jualan dan servis di seluruh negara.

Trak pikap itu dijana menggunakan enjin enjin turbo diesel 2.0L TDI 4-silinder dengan VGT yang menyalurkan 141PS dengan tork setinggi 340Nm.

Kuasa itu disalurkan ke kotak gear automatik ZF lapan kelajuan dengan turut dilengkapi mod manual. Ia juga menggunakan sistem 4WD BorgWarner dengan mod 2H, 4H dan 4L, selain dilengkapi Rear Differential Lock daripada Eaton.

Harga dan spesifikasi penuh JMC Vigus Pro dijangka didedahkan dalam Oktober ini. Pelanggan boleh melihat JMC Vigus Pro dari dekat di bilik pameran utama ATM di Klang, Selangor dan membuat tempahan di pengedar-pengedar berhampiran atau melayari laman sesawang www.jmcmalaysia.com.


Untuk makluman, Jiangling Motors Co., Ltd (JMC) ialah anak syarikat Jiangling Group, sebuah syarikat R&D, pengilang dan penjualan kenderaan yang berpangkalan di Nanchang, bandar utama wilayah Jiangxi.

JMC adalah jenama kenderaan komersial keenam terbesar di China dengan barisan modelnya terdiri daripada kenderaan penumpang, trak ringan, trak pikap, SUV dan kenderaan tenaga baharu.