Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Tuner Jerman Perkenalkan Mansory Bentayga MY 2021

Erywan
25/05/2021 02:30 MYT
Satu firma talaan yang kerap membawa kejutan dengan kit badan serta warna luar biasa ialah Mansory. Namun, kali ini sedikit berbeza apabila tuner Jerman itu mencipta kelainan membabitkan model Bentley Bentayga versi dipertingkat.


Imej model itu sudah dikongsi di laman Facebook dan berdasarkan maklumat, kereta mewah itu dinamakan sebagai Mansory Bentayga MY 2021. Kelainan dimaksudkan ialah kenderaan ini hadir dalam tona hitam sepenuhnya dengan sedikit liveri merah pada bahagian belakang dan rim sebesar 23 inci.


Jika diteliti, banyak komponen digunakan diperbuat dari gentian karbon. Antaranya, perumah cermin sisi, lip spoiler depan, aksen sisi kenderaan, penutup enjin, stereng, hiasan papan pemuka dan panel pintu.

Ruang kabin menyaksikan lebih banyak warna merah digunakan sebagai warna kontras untuk mengimbangi rona gelap kelabu dan hitam.


Enjin standard Bentley Bentayga ialah 4.0 liter V8 yang mampu mengekstrak kuasa 542hp dengan tork puncak 770Nm. Pakej naik taraf enjin Mansory meningkatkan kuasa kuda kepada 750hp dengan tork mencecah 1,020Nm.


Apa yang dilakukan ialah memasang sistem turbo baharu dan sistem ekzos berprestasi tinggi. Setakat ini, belum ada tanda harga diumumkan.


Sumber: Motor1 / Mansory Facebook

#Bentley
;