Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Antarabangsa

Van Camper Siput VW Menanti Pembeli

Erywan 25/09/2020 | 07:26 MYT

Volkswagen Camper (VW) bukan satu kenderaan semata-mata tetapi pernah menjadi fenomena gaya hidup golongan muda beberapa zaman lalu. Van gaya klasik itu masih diburu ramai individu termasuk peminat-peminat tempatan.

Sebahagian besar versi van camper kini boleh dikategorikan sebagai suatu kenderaan yang sukar diperoleh. Sebenarnya, ada satu varian van camper VW yang ramai tidak sedar ia sememangnya wujud.
Apa yang anda lihat di sini ialah sebuah model T2 Volkswagen edisi 1974 dan van itu berubah wajah hasil sentuhan syarikat PaCoMobil di Bandar Raya Mexico, Mexico. Van camper ini berubah jadi van camper siput.
Status kenderaan ini diklasifikasikan sebagai rare kerana syarikat pembuatnya menghasilkan hanya 50 unit mengikut spesifikasi ini. Malangnya, hanya ada enam unit yang masih wujud di dunia.
Satu daripadanya sudah ada di laman Bring A Trailer untuk dilelong dan nilai bidaannya cuma mencecah AS$11,000 (RM45,853) setakat semalam.
Penjual van itu berkongsi sejumlah gambar yang menunjukkan ia berada dalam keadaan baik dengan mengekalkan banyak komponen asli. Ada beberapa kesan rosak tetapi tidak signifikan apatah lagi usianya hampir mencecah 50 tahun sejak dihasilkan.
Camper van ini sudah diberi salutan warna baharu, tetapi sistem paip ekzosnya sudah dimamah usia. Kotak simpanan barang dalam kabin tiada panel, dipercayai sudah hilang. Van ini juga ditambah sistem kamera dengan satu skrin baharu.
T2 camper siput ini sudah dipandu lebih 91,000 kilometer dan dipacu enjin asal 1.6 liter dengan kotak gear empat kelajuan manual. Enjin empat silindernya mampu menjana 50hp.
Ruang camper ada satu set laci, sinki dan peti ais. PaCoMobil memasang lapisan lantai untuk tangga dan ada satu meja di tengah-tengah badan van. Bagaimanapun, tempat tidur dalam kabin masih belum siap sepenuhnya dan pembeli baharu akan berpeluang menentukan susunan yang diimpikan kelak.

#Volkswagen
;