Pengeluar kenderaan premium menaik taraf status keeksklusifan BMW 7 Series, sekali gus meluaskan lagi portfolio luar biasanya yang terdiri daripada kenderaan berelektrik yang dipasang di dalam negara menerusi BMW 740Le xDrive M Sport.

BMW Malaysia memperkenalkan BMW 740Le xDrive M Sport baharu yang melambangkan kemewahan dengan sentuhan elektrik. Ia adalah ahli baharu dalam portfolio ekstensif BMW Malaysia yang terdiri daripada kenderaan premium yang dipasang secara domestik.


BMW 740Le xDrive M Sport baharu tampil dengan wajah yang berbeza di samping salur masuk udara yang lebih besar, disempurnakan oleh pendakap berbentuk C. Ia hadir dengan M Sport Aerodynamic Package,yang menyerlahkan profil sedan mewah ini yang serba rapi. Panel ‘rocker’ yang menarik juga mempamerkan sentuhan yang sporty pada BMW 740Le xDrive M Sport.

Turut menjadi tumpuan pada luaran adalah set roda aloi ringan M 19 inci dalam penggayaan dwiruji 647 M dwiwarna dengan tayar bercampur serta tayar ‘run-flat’, lengkap dengan brek M Sport. BMW 740Le xDrive M Sport baharu juga menampilkan bumbung kaca panorama, Sky Lounge.


Ruang dalamannya pula, ia diperkemaskan dengan ‘Fineline’ Fine Wood dalam warna hitam dengan efek logam berglos tinggi menawarkan suasana elegan, lengkap dengan material bumbung BMW Individual Alcantara Anthracite.

Di ruang kokpit pula, pemandu disambut dengan stereng M Sport serta kerusi ‘Comfort’ yang boleh dilaras secara elektrik dan turut hadir dengan fungsi memori bagi tempat duduk hadapan.


Pencahayaan ambien dan penyaman udara automatik dengan 4 zon kawalan memperkayakan lagi aspek keselesaan BMW 740Le xDrive M Sport baharu, berserta dengan tirai gulung bagi tingkap sisi di belakang, fungsi penutup pintu ‘soft-close’, dan sistem Comfort Access untuk operasi pintu but yang memudahkan.

Rangkaian kuasanya, ia menggunakan enjin petrol enam silinder 3.0 liter yang menjana output maksimum 286hp serta puncak tork bernilai 450 Nm. Ia juga dikuasakan oleh bateri ion litium yang membolehkan mencapai 113hp dan tork setinggi 265 Nm melalui motor elektriknya.


Output gabungan maksimum ialah 394hp dengan tork sehingga 600 Nm. Sedan mewah baharu ini mampu 0-100km/j dalam 5.1 saat sahaja. dan kelajuan tertinggi mencecah 250 km/j.

Harganya, ia dijual pada RM591,503.05, dengan ‘Balloon Financing Plan’ yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW 740Le xDrive M Sport baharu boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan bermula RM 6,558.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).