Bagi peminat Honda, nama Mugen sebenarnya sudah tidak asing lagi buat mereka. Di Malaysia juga, Honda Malaysia Sdn Bhd juga menawarkan produk talaan jenama berkenaan bagi beberapa model mereka seperti Civic, HR-V dan Jazz.

Buat yang kurang arif, syarikat Mugen Motorsport ini diasaskan oleh Hirotoshi Honda iaitu anak kepada pengasas Honda Motor Company, Soichiro Honda pada 1973.

Namun pada 2004, penstrukturan semula syarikat dilakukan dengan nama ditukar kepada M-TEC Co Ltd, tetapi nama Mugen masih kekal sebagai tanda dagangannya.



Pengurus Besar M-TEC Co Ltd, Akihiro Kojima berkata, syarikat berkenaan mempunyai 220 tenaga kerja di seluruh dunia yang mana ia mempunyai empat ibu pejabat membabitkan dua di Jepun dan satu di United Kingdom dan terakhir di Amerika Syarikat.

Menurutnya, M-TEC terbahagi kepada tiga jabatan iaitu Sukan Permotoran, Pembuatan dan Produk yang mana setiapnya menyumbangkan kira-kira 33.3 peratus kepada pendapatan bagi syarikat berkenaan.



Menurutnya, Jabatan Sukan Permotoran ditugaskan menghasilkan jentera lumba seperti perlumbaan Super GT 500 dan Japanese Super Formula, selain membina motosikal tenaga elektrik untuk menyertai cabaran Isle of Man TT Race TT Zero.

“Bagi cabaran Isle of Man TT Race TT Zero, jentera yang dibangunkan syarikat kami sudah memenangi lima kali berturut-turut sejak 2014 sehingga 2018.



“Jabatan Pembuatan pula, kami mempunyai kilang dan mesin untuk menghasilkan komponen berprestasi dalam enjin seperti conrod, blok dan crankshaft, tetapi ia hanya dibuat untuk jentera lumba sahaja.

“Setiap enjin lumba yang dipasang memerlukan masa seminggu dengan dua tenaga kerja diperlukan untuk menyiapkannya. Enjin itu menyalurkan 550PS yang mana harganya boleh mencecah 20 juta Yen (hampir RM800,000),” katanya ketika di temui di ibu pejabat dan kilang M-TEC Co Ltd, Asaka, Jepun.



Buat pengetahuan anda, penulis bersama media tempatan yang lain dibawa khas oleh Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) ke sana. Lawatan itu adalah aktiviti yang disediakan HMSB sempena acara Tokyo Motor Show 2019.

Bagi Jabatan Produk pula, Akihiro memaklumkan ia membabitkan aksesori kenderaan dipandu di jalan biasa (bukan jentera lumba) membabitkan kit badan, komponen gentian karbon serta barangan berprestasi seperti ekzos, brek, suspensi serta rim.



Menurutnya, pihaknya turut menjual kenderaan yang lengkap dengan komponen Mugen seperti Mugen RR (Civic), Mugen RZ (CR-Z) dan Mugen RA (S660).

Sempena lawatan itu, penulis diberi peluang untuk melihat beberapa bahagian seperti kilang pembuatan komponen, tempat dyno dan kawasan pembuatan komponen gentian karbon.



Namun, penulis dan rakan media lain tidak dibenarkan untuk membawa kamera atau telefon bimbit untuk merakam gambar di kawasan berkenaan.

Cuma kami hanya dibenarkan untuk merakam gambar atau video di ruang pameran sahaja dan anda boleh melihatnya dengan tekan pautan di bawah:

>> Lawat ibu pejabat & kilang Mugen di Jepun