Kawasaki Versys 300 pertama kali diperkenalkan di Vietnam pada 2017 bagaimanapun kehadiran touring kecil itu tidak begitu menarik perhatian pengguna di sana. Bagi versi 2020, Kawasaki Vietnam melakukan naik taraf ciri peralatan dan perubahan harga Versys 300 dengan harapan dapat menarik minat pembeli.


Kawasaki Versys 300 didatangkan dengan dua varian City dan Tourer pada harga masing-masing VND 145 juta (RM26,053) dan 163 juta (RM29,287), iaitu lebih murah 4 sehingga 6 juta (RM719 sehingga RM1,078) berbanding model sebelumnya.


Versys 300 Tourer didatangkan dengan pakej peralatan untuk pemilik yang gemar menunggang jauh. Bagi varian City pula untuk kegunaan harian dan mereka yang ingin menaik taraf ciri peralatan mengikut selera sendiri.


Imej maskulin Versys 300 disumbangkan oleh lampu depan yang besar bersama panel badan tajam. Pengadang angin pula bersaiz sederhana dan tidak boleh dilaras, selain pencahayaan lampu serta signal masih lagi menggunakan jenis mentol bukannya LED.


Sementara versi Tourer dilengkapi dengan frem anti-jatuh dan dua lampu LED besar. Belakang pula ditawarkan dengan lampu polygonal dan indikator selekoh berasingan. Versi Tourer dilengkapi dengan dua kotak barangan tambahan pada bahagian sisi. Meter LCD dan butang kawalan pada hendal mirip Ninja 400 atau Z400.


Kawasaki Versys 300 didatangkan standard dengan rim bersaiz 19-inci (depan) dan 17-inci (belakang) yang disambung kepada suspensi teleskopik dan spring tunggal boleh laras pra beban serta brek cakera bersama ciri Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).


Motor touring itu dijana enjin dua selinder bersesaran 296cc penyejukan cecair yang menghasilkan kuasa 39.3hp pada 11,500rpm dan tork 25.7Nm pada 10,000rpm bersama transmisi 6-kelajuan tanpa ciri klac anti-slip.

Sumber: zingnews.vn