Syarikat rekaan dalaman kenderaan di Bulgaria, Vilner mempamerkan hasil kerja terbaharu yang mana dikatakan mampu mengubah persepsi kumpulan pengkritik terhadap Tesla Model 3.

Kereta Tesla itu dikatakan didatangkan dengan ruang kabin yang agak hambar dan melesukan akibat dominasi tona kelabu gelap. Bagi Vilner, ia cuma memerlukan sentuhan kreatif untuk menceriakan semula suasana berkenaan.

Vilner mengubah persekitaran dalaman Model 3 dengan menggunakan beberapa jenis fabrik dan material kulit eko berwana oren terang sebagai tona kontra kepada kelabu gelap.

Bahagian tengah kerusi dan perehat kepala dikenakan corak houndstooth dengan corak campuran warna putih dan turquoise. Bahagian luaran pula didominasi dengan material kulit oren serta kelabu gelap.

Corak dan warna turquoise sama juga diberikan pada bahagian konsol tengah dan bahagian tengah pintu. Tindakan membalut dinding tiang dengan fabrik berwarna turquoisedi sekeliling kabin juga menjadikan ia kelihatan seperti sebuah roll cage.

Menariknya, tali pinggang keledar dan visor matahari juga ditukar kepada warna oren. Tindakan sama juga pada bahagian konsol tengah dan stereng.

Papan pemuka Tesla Model 3 ini agak berbeza kerana diberikan pengenaan kemasan panel kayu untuk dipadankan dengan tona oren dalam kabin. Tiada maklumat mengenai kos yang anda perlu bayar untuk mendapatkan pakej ini.