Setahun lalu, Volkswagen memperkenalkan Passat Variant R-Line Edition yang terhad kepada 2,000 unit untuk pasaran Eropah. Kini, jenama itu kembali dengan pakej yang sama untuk Arteon. Bagaimanapun, model ini lebih eksklusif dengan hanya 250 unit bakal ditawarkan di benua itu.

Sedan fastback ini menampilkan skema dwi tona dengan warna Moonstone Grey dan hitam pada bahagian bumbung, cermin sisi dan rim aloi ‘Rosario’ berukuran 20 inci. Turut disertakan adalah filem gelap untuk cermin belakang.

Masuk ke bahagian dalam, terdapat upholsteri kulit Nappa, sistem pencahayaan ambien serta sistem infotainmen Discover Pro dengan fungsi Wifi, kawalan suara dan radio digital yang didatangkan standard.

Selain itu, antara kelengkapan canggih yang disertakan termasuklah sistem kemasukan tanpa kunci, Park Assist, Dynamic Road Sign Display, Side Assist, Autonomous Emergency Braking Front Assist dan Adaptive Distance Control.

Arteon R-Line Edition ditawarkan dengan pilihan enjin TDI (turbo berkembar) dan TSI, kedua-duanya dipadankan dengan transmisi DSG tujuh kelajuan. Rangkaian model ini bermula dengan versi 190PS bagi kedua-dua TDI dan TSI, diikuti dengan versi 240PS TDI dan 272PS TSI.

Versi-versi yang lebih berkuasa itu hadir dengan sistem pacuan semua roda 4Motion dan sistem kawalan casis adaptif (DCC) yang boleh mengkonfigurasikan peredam menerusi mod Comfort+ dan Sport+. Sistem ESC turut menerima talaan khas dan boleh dinyahaktifkan untuk pemanduan lebih sporty.

Arteon R-Line Edition boleh dipesan mulai sekarang dengan harga bermula dari 55,970 Euro (RM255,441).