Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Volkswagen Beetle Jet Sekuat 1,350hp Untuk Dilepaskan

Erywan
15/12/2020 07:40 MYT
Pengeluaran model Volkswagen Beetle sudah berakhir sejak tahun lalu, tiada alasan jelas diberi, tetapi mungkin disebabkan syarikat Jerman itu mahu mengubah hala tuju kepada segmen kenderaan elektrik.

Beetle ini pernah menjadi ikon 'rebel' oleh pengikut budaya yang menyimpang secara jelas daripada kepercayaan dan norma tingkah laku mainstream sekitar tahun 1960-an.


Sebuah kereta dibangunkan mengikut hala tuju diktator Aldolf Hitler, tetapi menjadi simbol masyarakat Hippie khususnya orang-orang muda. Volkswagen mengeksport model Beetle ini ke-29 negara lain pada tahun 1951 sebelum ia memasuki pasaran Amerika Syarikat.


Amerika Syarikat (AS) terkenal sebagai satu daripada tempat kita boleh melihat banyak projek kereta gila dibina dan kali ini, Volkswagen Beetle dengan enjin jet. Individu yang bertanggungjawab dalam projek ini ialah Ron Patrick dan dia sebenarnya memiliki kelulusan sarjana dalam bidang kejuruteraan mekanikal dari Universiti Stanford.


Apa yang menarik, kereta dia boleh dipandu secara sah atas jalan raya biasa di AS dan polis atau 'jabatan pengangkutan jalan' tiada sebab yang sah untuk menahannya. Caranya ialah, Patrick memastikan enjin asal Beetle 1.6 liter empat silinder dengan janaan kuasa 100hp bersama transmisi empat kelajuan dikekalkan standard dan tiada modifikasi.


Enjin jet pula dipasang di dalam but belakang kereta yang terjulur keluar untuk menikmati mod ‘supersonic'. Menurut dokumen rasmi, enjin jet itu adalah jenis General Electric T58-8F yang menghasilkan 1,350hp!


Data ini menandakan inilah mungkin Beetle terpantas di dunia. Khabarnya, pemandu kereta ini lebih pentingkan nyawa sendiri daripada mencipta rekod semata-mata.

“Saya tidak ada idea berapa pantas kereta ini boleh pergi dan mungkin tidak akan tahu. Saya bina kereta untuk menceriakan hati, bukannya untuk bunuh diri," katanya.

Patrick kini mahu melepaskan kereta Beetle Jet tetapi harga dipinta pastinya bukan biasa-biasa. Dia mahu bayaran AS$550,000 (RM2.2 juta) sebagai nilai jual beli.

#Volkswagen