Percaya atau tidak, sudah 45 tahun berlalu sejak Golf GTI generasi pertama diperkenalkan di pasaran. Bagi meraikan ulang tahun kereta sport kompak yang cukup digemari ramai itu, Volkswagen memperkenalkan model edisi khas yang dikenali sebagai ‘Clubsport 45’.

Seperti yang tertera pada namanya, jentera ini menggunakan Golf GTI Clubsport Mk8 sebagai asas. Ini bermakna ia mempunyai enjin turbo empat silinder bersesaran 2.0-liter yang menghamburkan 300PS dan 400Nm. Dengan transmisi DSG tujuh kelajuan yang ditugaskan untuk memacu roda hadapan, jentera ini mampu melakukan pecutan 0-100km/j dalam kurang enam saat.


Selain enjin, aspek casis turut dikekalkan menerusi penggunaan sistem suspensi yang lebih rendah sebanyak 15mm dan talaan ‘camber’ positif yang memberikan tindak balas stereng yang lebih responsif. Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai ‘differential’ berkunci pada gandar hadapan yang diintegrasikan ke dalam sistem Vehicle Dynamics Manager.

Apa yang menjadikan edisi Clubsport 45 berbeza adalah penambahan pakej luaran dan dalaman. Untuk bahagian luaran, jentera ini menampilkan bumbung dan spoiler berwarna hitam, lencana ‘45’ pada bahagian bawah pintu belakang serta lampu LED Matrix.


Menjadikan ia lebih menonjol adalah rim aloi Scottsdale berukuran 19 inci yang dihiasi dengan jalur merah yang menjadi sebahagian daripada pakej Race. Pakej yang disertakan secara standard itu turut merangkumi sistem ekzos sport serta pembuangan pengehad kelajuan maksimum, sekaligus membolehkan hatchback ini memecut melebihi 250km/j.

Sementara itu, bahagian dalaman pula menampilkan logo ‘45’ pada stereng serta logo ‘GTI’ pada tempat duduk. Seperti bahagian luarannya, aksen merah turut digunakan untuk menaikkan seri ruang kabin Clubsport 45. Menurut Volkswagen, Golf GTI Clubsport 45 akan memasuki pasaran Eropah terpilih bermula bulan ini dengan harga 47,790 Euro (RM233,735).