Jika berbicara berhubung Volkswagen Golf, sudah pasti yang terlintas di fikiran anda adalah varian GTI atau R.

Apa yang terbayang di fikiran adalah keupayaan dan kebolehan kerahan tenaga disalurkan oleh rangkaian kuasa jentera terbabit.

Bagaimana pula dengan Golf varian biasa yang menjana enjin 1.4TSI turbocharged. Adakah anda terlupa bahawa Volkswagen Passenger Cars Malaysia turut membawa masuk varian ini buat pasaran tempatan.

Atau anda tidak mahu tahu tentang kewujudan varian ini disebabkan ia tidak berkuasa dan mantap seperti keupayaan ‘abangnya’ iaitu GTI dan R.

Bukan anda sahaja yang menganggap begitu dan penulis pun menyangka perkara sama.

Namun, apa yang dianggap itu sebenarnya silap dan penulis mahu perbetulkan tanggapan berkenaan selepas mengujinya baru-baru ini.

Buat mereka bukan seorang kaki ‘pecut’ atau pemandu bertaraf profesional, Volkswagen Golf varian 1.4TSI turbocharged sebenarnya sudah cukup puas untuk pemanduan anda.

Siapa kata enjin kecil itu tidak hebat, biar penulis terang kepada anda bahawa rangkaian kuasa itu boleh diibaratkan seperti kecil-kecil cili api. Biarpun kecil tetapi menyalurkan kuasa yang cukup mantap dan padu.

Enjin 1.4TSI turbocharged sebenarnya memiliki prestasi yang cukup besar selepas menyalurkan 150PS dan pada masa sama menghasilkan tork 250Nm.

Secara peribadi kuasa yang mampu dikerah dengan sempurna sama ada di lebuh raya dan ia tidak akan ketinggalan jauh dengan Golf GTI.

Sekiranya dibandingkan dengan pecutan 0-100 kilometer sejam (km/j), Golf 1.4 1.4TSI turbocharged hanya memerlukan 8.2 saat, manakala 6.4 saat bagi Golf GTI.

Bagi kelajuan maksimumnya pula, Golf 1.4 TSI turbocharged boleh mencecah 216km/j dan Golf GTI boleh memecut sehingga 248km/j. Sekurang-kurangnya anda masih lagi boleh melihat bayang-bayang Golf GTI ketika memecut di lebuh raya.

Bagaimanapun bagi penulis, kelajuan itu sebenarnya perkara subjektif dan apa yang mahu ditekannya dalam pandu uji ini adalah keselesaan dan kejelitaan Golf MK7.5 menerusi varian R-Line selepas diperkenalkan pada April lalu.

Keselesaan yang lebih tepat untuk diterangkan adalah ciri baharu dan terkini yang ada pada ruang kabinnya selepas kerusinya dibaluti kulit Vienna serta dihiasi logo R pada tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.

Reka bentuk kerusi itu juga kelihatan mampu menyokong kedudukan penumpang dan pemandu supaya lebih selesa terutama untuk pemanduan jauh.

Volkswagen Golf R-Line juga menawarkan aspek ketersambungan dan kemudahan terbaik dengan padanan skrin Composition Media bersaiz 8 inci yang dilengkapi ciri App-Connect dengan menyediakan sistem seperti MirrorLink, Android Auto serta Apple Carplay

Paling menarik perhatian adalah paparan Info Aktif bersaiz 12.3 inci dan ia boleh dikatakan kelihatan canggih kerana segala maklumat berhubung kelajuan, rpm, posisi gear pada paparan definisi tinggi.

Bagi kereta buatan Jerman ini, ruang dalamannya tidak terlalu futuristik atau moden tetapi reka bentuknya cukup kemas dan tidak membosankan.

Malah apa yang boleh diberi pujian adalah kedapan bunyinya. Ini kerana penulis rasa ruang kabin agak senyap biarpun memecut pada kelajuan tinggi.

Pada masa sama, pertukaran gear turut lancar bagi transmisi dwi-klac DSG 7 kelajuan yang mana boleh ditukar secara manual. Jika mahu ciri pemanduan berbeza, penulis boleh menukar mod Eco, Normal, Sport dan Individual.

Tindak balas sterengnya juga agak tepat untuk memberikan respon langsung yang jitu dan tajam, sekali gus membantu memudahkan pemandu mencari had cengkaman.

Sementara itu, penampilan varian R-Line adalah kunci utama yang membuatkan jentera ini lebih bergaya dengan padanan kit badan berbeza.

Ia ada 9 ciri yang boleh dilihat pada bampar hadapan dan belakang, jeriji, lubang udara pada bampar tepi, logo pada dapra, peresap belakang dengan ekzos krom trapezoidal serta spoiler.

Bagi membuatkan ia tampak lebih gah, Golf R-Line ini menggunakan rim aloi ‘Singapore’ bersaiz 17 inci.

Sesuai dengan kenderaan buatan Jerman, ia memiliki ciri keselamatan terbaik dengan dilengkapi 7 beg udara dan Maneuver Braking yang akan membrek kereta secara automatk apabila ia mengesan objek pada kelajuan 10km/j ketika hendak memarkir kenderaan.

Pada masa sama, ia dilengkapi Sistem Brek Automatik Pasca Pelanggaran yang berfungsi menekan brek secara automatik untuk menghalang impak lebih besar apabila kenderaan terbabit dalam kemalangan.

Jika mahu memiliki kenderaan hatchback ini, ia dijual pada harga bermula RM159,888 (harga GST sifar) yang ditawarkan warna kuning, biru, putih, hitam, perak dan kelabu.